SIMANGGANG: Kerajaan negeri Sarawak telah bergerak seiring dengan aspirasi kerajaan persekutuan dengan menyediakan pelbagai bantuan kepada rakyat sewaktu pandemik COVID-19 ini, sesuai dengan tema sambutan Hari Kebangsaan tahun ini, ‘Malaysia Prihatin’, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata pelbagai program pembangunan yang sedang atau sudah dilaksanakan di negeri itu juga terus menjadi agenda pengisian kemerdekaan yang sebenarnya.

“Kerajaan persekutuan menyediakan pelbagai bantuan di bawah Bantuan Prihatin Nasional. Kerajaan Gabungan Parti Sarawak juga menyediakan pelbagai bantuan di bawah Bantuan Khas Sarawakku Sayang atau BKSS,” katanya semasa berucap pada sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri di Dewan Suarah di sini hari ini.

Menurutnya kerajaan Sarawak memperuntukkan RM2.55 bilion untuk melaksanakan pakej bantuan tersebut menerusi tiga pakej dan berharap bantuan berkenaan telah memberi sedikit kelegaan kepada para peniaga, isi rumah, orang perseorangan, industri kecil dan golongan lain yang terkesan.

Pada majlis sambutan itu, Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud dan isteri Toh Puan Raghad Kurdi Taib hadir sebagai tetamu kehormat.

Turut hadir jemaah menteri kerajaan Sarawak, ketua-ketua jabatan kerajaan serta ketua-ketua kaum.– BERNAMA