BAU: Seramai empat warganegara Indonesia ditangkap dalam Operasi Bersepadu Ambang Merdeka yang dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau bersama Imigresen, Kastam dan tentera, semalam.

Ketua Polis Daerah Bau DSP Poge Nyaon berkata kesemua pendatang asing tanpa izin (Pati) itu dicekup kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

“Tangkapan telah diserah kepada Imigresen untuk tindakan dan siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pemeriksaan yang dijalankan oleh pasukan IPD Bau bersama anggota agensi penguatkuasaan lain dalam Operasi Bersepadu Ambang Merdeka di Bau, semalam.

Selain itu, beliau berkata operasi turut berjaya merampas sejumlah minuman keras yang disyaki tidak bercukai, hasil serbuan ke atas sebuah kedai di sini.

Katanya kesemua barangan itu telah diserahkan kepada Kastam untuk tindakan susulan.

Pada masa sama, Poge berkata seorang lelaki telah ditahan kerana didapati positif dadah jenis syabu.

Katanya suspek ditahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Poge menambah beberapa saman trafik juga telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas.

Minuman keras yang dirampas hasil serbuan ke atas sebuah kedai dalam Operasi Bersepadu Ambang Merdeka di Bau, semalam.