SIMANGGANG: Pentadbiran bersifat ‘wujud bersama’ yang dipegang oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg akan terus memastikan Sarawak aman seperti mana Madinah.

Beliau menyeru agar tiada pihak yang menimbulkan huru-hara sekali gus menjadikan senario politik di Semenanjung Malaysia sebagai iktibar.

Kerana katanya, Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) memberikan tumpuan utama kepada aspek pembangunan secara menyeluruh demi masa depan Sarawak.

“Salah satu teras penyatuan pelbagai kaum di Sarawak ialah ‘agamanya, agamanya dan agama saya, agama saya. Tetapi, harus membantu antara satu sama lain.

“Dan saya amat berpegang kepada pentadbiran Nabi Muhammad SAW di Madinah (melalui) Piagam Madinah yang mana orang Islam dan bukan Islam boleh hidup bersama.

“Kalau itu boleh berlaku dan negerinya aman, maka kita di Sarawak pun boleh.

“Oleh itu, saya menekankan pentadbiran yang bersifat ‘wujud bersama’ antara masyarakat Islam dan bukan Islam,” katanya.

Beliau bercakap demikian ketika merasmikan program Pemimpin Bersama Rakyat di sini, hari ini.

Jelasnya, kerja membangunkan negeri dan membantu rakyat disifatkan sebagai ibadat yang akan diberikan pahala oleh Tuhan.

Abang Johari mengingatkan pemimpin parti sebelah agar tidak menghuru-harakan masyarakat akar umbi dengan propaganda buruk misalnya dalam isu tanah hak adat bumiputera (NCR).