SIMANGGANG: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dilihat bersedia meluaskan perkhidmatan bas sekolah percuma ke bandar-bandar lain termasuk Simanggang.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, kesulitan yang dihadapi ibu bapa untuk membayar tambang bas sekolah mendapat perhatian Kerajaan GPS.

“Perkhidmatan ini diperkenalkan di Kuching dan kelak bakal diperluas ke bandar-bandar lain termasuk Simanggang,” katanya.

Beliau bercakap demikian semasa Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri 2020 bertema Malaysia Prihatin di sini, hari ini yang turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud dan isteri Toh Puan Datuk Patinggi Ragad Kurdi Taib.

Selain itu jelasnya, kerajaan turut memperkenalkan bas RM1 dengan tumpuan golongan yang memerlukan pengangkutan awam di kawasan bandar.

Ia mendapat sambutan menggalakan apabila jumlah penumpang bas di bandar meningkat secara mendadak daripada 13,000 pada Mei kepada 250,000 pada Julai.