KUCHING: Kerja naik taraf dan memperbesarkan parit Kampung Segedup sepanjang 350 meter telah siap dilaksanakan.

Timbalan Pengerusi PBB Satok, Datuk Ibrahim Baki berkata, kerja menaik taraf parit Kampung Segedup tersebut merupakan projek RTP yang melibatkan kos sejumlah RM 280,000.

Menurut Ibrahim, projek naik taraf itu melibatkan lima lorong iaitu dari Lorong 12 C hingga Lorong 12 G.

“Kerja naik taraf parit bermula pada Mac ini sebelum PKP dan dilaksanakan secara berfasa. Dan ia telah disiapkan pada hari ini.

“Penduduk Kampung Segedup sangat bekerjasama, mereka membenarkan tanah mereka untuk digunakan tanpa karenah bagi memperbesarkan parit ini,” jelasnya kepada pemberita setelah mengadakan lawatan pada tapak projek di Kampung Segedup.

Sebelum itu, beliau turut menyertai peserta Kayuhan Kembara Merdeka sempena Hari Kebangsaan hari ini.

Ibrahim turut memberitahu, projek utama yang lain akan dilaksanakan pada penghujung tahun ini iaitu menaik taraf paip Kampung Segedup yang berjumlah sekitar RM500,000.

Tambahnya, program pembesaran kampung itu akan menjadi pembangunan utama di kawasan ini dan kehidupan penduduk kampung di kawasan ini berasa duduk di kawasan bandar yang moden.

“Kampung Segedup dahulu adalah pinggir bandar dan kini dibawah Dun Satok, anda dapat lihat pembangunan di kawasan ini adalah bandar moden.

“Semua kemudahan yang ada di sini telah ada, ia dapat menjadikan tempat ini sebagai tempat tinggal yang moden,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ibrahim berkata penduduk
Kampung Segedup juga hidup dalam perpaduan dan tiada sebarang isu bangsa dan agama sama seperti rakyat Sarawak yang lain.

“Anda lihat pada program hari ini, mereka keluar bersama gembira, ceria dan bahagia, kita harus beri sokongan pada kawasan ini, ia adalah satu contoh yang baik,” tambahnya.