SIMANGGANG: Kerajaan Sarawak memastikan sistem pentadbiran tersendiri yang diamalkan sejak zaman Brooke akan dipertahankan.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, jawatan ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) sebagai pemimpin di peringkat akar umbi amat penting.

“Pertama, menjadi saluran penyampaian dasar kerajaan semasa iaitu Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebagai parti pemerintah.

“Justeru, saya dan rakan kabinet akan mempertahankan sistem pentadbiran sedia ada yang memiliki ketua kampung, ada tuai rumah dan mempunyai kuasa mengikut struktur pentadbiran yang diamalkan,” katanya.

Beliau bercakap demikian ketika merasmikan program Pemimpin Bersama Rakyat di sini, hari ini.

Jelasnya, berlainan dengan sistem di Semenanjung Malaysia, struktur pentadbiran di Sarawak terdiri daripada temenggong, pemanca, penghulu dan seterusnya ketua kaum.

“Sistem ini tidak terdapat di negeri lain yang hanya mempunyai penghulu dan ketua mukim.

“Jadi, apabila suatu ketika dahulu mereka (Pakatan Harapan) di Semenanjung Malaysia mengharapkan kita mengikut Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Persekutuan (Mpkkp), kita menolak… tidak dapat!

“Hal ini kerana kita di Sarawak mempunyai adat dan struktur pentadbiran sendiri. Saya menyeru supaya semua pemimpin akar umbi memainkan peranan masing-masing dengan mempertahankan adat dan hak kita,” ujarnya.

Abang Johari menambah, KMKK sebagai pemimpin di peringkat akar umbi harus pakar serta serba tahu tentang setiap permasalahan yang berlaku di kawasan masing-masing.

“Seperti pemimpin di peringkat lain tugas KMKK menjalankan amanah yang ditugaskan.

“Keduanya, memastikan keamanan berkekalan supaya tidak wujud huru-hara dalam kampung masing-masing.

“Paling penting, anda (KMKK) harus mengetahui sebarang masalah yang berlaku khususnya melalui mesyuarat…termasuk bertindak sebagai agen membendung penularan wabak Covid-19. Pastinya anda lebih mengetahui penduduk sendiri,” jelasnya.

Kerajaan Sarawak tahun ini meluluskan pelantikan 1,064 ketua kaum baharu di seluruh Sarawak.

Manakala bagi memperkasakan peranan JKKK, Kerajaan Sarawak dalam Belanjawan 2020 menyediakan RM100 juta peruntukan dengan tambahan RM18.6 juta.

Abang Johari pada majlis yang sama turut menyampaikan watikah pelantikan kepada tujuh ketua masyarakat dan 42 ketua kaum dari Bahagian Sri Aman.