Akhbar dukung fungsi bahasa

KUCHING: Timbalan Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak Dr. Shantrol Abdullah memuji inisiatif akhbar Suara Sarawak dalam memperkasa penggunaan bahasa Melayu.

Menurutnya, bahasa merupakan satu perkara penting sebagai medium penerbitan seperti akhbar kerana ia menjadi cerminan kepada sebuah organisasi.

“Sekiranya berlaku kesilapan asas, pembaca akan memandang organisasi akhbar itu tidak serius dalam mendukung fungsi bahasa kebangsaan.

“Jadi apa yang dilakukan oleh Suara Sarawak ini perlu diperluaskan kepada semua organisasi akhbar termasuk organisasi lain supaya tidak berlaku kesilapan sedemikian,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengendalikan kursus bahasa di Pejabat Suara Sarawak, di sini semalam.

Tambahnya, ia juga penting untuk menjadikan fungsi bahasa sebagai sebuah bidang yang efisien.

“Ia akan memberi imej yang baik kepada sebuah organisasi khususnya dalam bidang penerbitan akhbar.

“Saya juga berharap agar semua akhbar mengadakan kursus lebih mendalam yang menyentuh isu wacana, penggunaan frasa dan sebagainya,” tegas beliau.

Untuk rekod, kursus bahasa tersebut disertai oleh 45 kakitangan Suara Sarawak termasuk peserta jemputan yang bertujuan untuk memantapkan lagi ejaan dalam penulisan karyawan akhbar tersebut.

Suara Sarawak sentiasa mengadakan kursus bagi mengesan kesilapan penggunaan bahasa selari visi menjadikan akhbar itu sebagai pendidik bukan hanya dari sudut nilai berita tetapi penggunaan hukum bahasa yang betul.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak