Atasi setiap masalah penduduk

MUKAH: Ketua masyarakat dan ketua kaum hari ini harus menggalas tanggungjawab dengan mengetahui apa-apa yang berlaku di sekitar khususnya berkaitan penduduk di kawasan masing-masing.

Adun Tellian Yussibnosh Balo berkata, pemimpin masyarakat itu juga perlu lebih peka dengan persekitaran, dan ketinggalan dalam apa-apa hal sekalipun.

“Ini demi memastikan mereka dapat memikul amanah yang telah diberikan oleh Kerajaan Sarawak. “Kita ambil dari sudut positif. Istilah jaga tepi kain orang harus diperbetulkan semula dengan niat yang baik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Community Engagement @ Mukah di Bangunan Pentadbiran Baharu Mukah, kelmarin.

Menurut Yussibnosh, negeri ini bertuah kerana politiknya stabil. “Kerajaan pemerintah di peringkat negeri sentiasa berada dalam keadaan kukuh dan kuat berbanding di Sabah mahupun negerinegeri di Semenanjung Malaysia.

“Ini juga kunci keamanan serta kesejahteraan yang akhirnya bakal memberikan kesenangan kepada rakyat,” tambahnya.

Jelasnya lagi, apabila politik stabil, perancangan kerajaan akan sentiasa berjalan lancar. Menjelaskan tentang program Community Engagement @ Mukah katanya, program itu salah satu inisiatif mendekati rakyat terutama dalam proses pemulihan berikutan pandemik Covid-19.

“Walaupun mempunyai rintangan dan cabaran, namun ia tetap dijalankan demi kemakmuran rakyat,” katanya.

Timbalan Residen Mukah Abdul Halim Abdullah; Pegawai Daerah Mukah Shafrie Saili dan Walikota Majlis Daerah Dalat Mukah Kadir Jamil antara yang turut hadir.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak