Barang subsidi pilihan penyeludup

KUCHING: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berjaya menumpaskan 2,297 kes penyeludupan barangan subsidi dengan nilai rampasan RM82 juta sepanjang tempoh tahun 2016 hingga 2020.

Menterinya, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata kesemua kes tersebut di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 sepanjang empat tahun itu.

Jelasnya, nilai rampasan dihasilkan ialah sebanyak RM82 juta membabitkan barangan subsidi seperti diesel, petrol, gas petroleum cecair (LPG), gula dan tepung gandum.

“Kementerian melalui bahagian penguat kuasa sentiasa mengambil langkah sewajarnya bagi mengekang aktiviti penyeludupan barangan subsidi ini.

“Antara langkah yang diambil ialah melaksanakan risikan di lokasi-lokasi tertentu di sempadan negara, mengadakan kerjasama strategik dengan agensi lain yang terlibat,” katanya menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Hulu Rajang, Datuk Wilson Ugak Kumbong pada Persidangan Dewan Rakyat di Kuala Lumpur, Khamis lalu.

Tambahnya, antara agensi yang terlibat dalam usaha berkenaan ialah Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Agensi Kawalan Sempadan Malaysia, Agensi Penguat kuasa Maritim Malaysia Dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) diikuti semakan naziran ke atas syarikat pemegang lesen barangan kawalan tersebut.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak