Betong lebih terbuka

BETONG: Rancangan untuk membangunkan Jalan Betong-Beladin dari Kampung Buda ke pangkalan feri Batang Saribas serta cadangan pembesaran Pasar Tamu Produk Luar Bandar Betong antara dua projek utama pada masa hadapan.

Adun Layar Gerald Rentap Jabu berkata, ini bagi memastikan Betong lebih terbuka.

Menurutnya, jika rancangan berkenaan dapat direalisasikan, maka bahagian ini yang berada di antara Bahagian Sri Aman, Sarikei dan Sibu bakal menjadi tumpuan.

“Kami berterima kasih kepada Kerajaan Sarawak pimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang sudah meluluskan pembinaan Laluan Utama Kedua Betong-Sri Aman, juga dalam perancangan Jalan Betong menuju ke Bebuling (lapangan terbang).

“Satu lagi hasrat jangka panjang kami ialah membangunkan Jalan Betong-Beladin yang dianggarkan sepanjang lebih 30 kilometer yang sudah disuarakan kepada kerajaan.

“Disebabkan memerlukan kos yang besar…kami merancang secara perlahan-lahan.

Ini penting untuk mengembangkan potensi Betong dan kawasan sekitar ekoran terdapat banyak kawasan yang sesuai dibangunkan dengan pertanian seperti nanas, pisang dan kelapa,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak, semalam.

Manakala di Pasar Tamu Produk Luar Bandar Betong beliau berkata, projek bernilai RM5 juta yang diluluskan oleh Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem ketika menjadi Ketua Menteri memberi manfaat besar, sekali gus mengubah landskap Betong.

“Saya syukur reka bentuk moden pasar tamu tersebut cantik.

“Bagaimanapun, apabila dibuka minggu lalu 96 ruang sedia ada tidak mencukupi hinggakan terdapat peniaga yang membuka khemah masing-masing di luar bangunan.

“Justeru, kami berhasrat membesarkannya kerana saya melihat ini satu daripada sumber pendapatan utama masyarakat di sini.

“Bandar Betong kini memiliki populasi sekitar 40,000 orang.

Bayangkan jika jalan-jalan perhubungan yang dirancang kelak siap. Betong akan menjadi pusat tumpuan,” tambahnya.

Selari dengan itu, Rentap juga menyasarkan Majlis Daerah Betong (MDB) pada 2030 akan dinaik taraf menjadi Majlis Perbandaran sesuai dengan hasrat menambah kelestarian penduduk dan perkhidmatan yang diberikan kerajaan.

Beliau menyifatkan pasar tamu itu apabila siap kelak akan menjadi satu lagi bukti kerajaan mendengar keluh-kesah rakyat termasuk peniaga yang berniaga pelbagai barangan di Betong. “Gunakan sebaik-baiknya termasuk penjagaan aspek kebersihan.

Ini tanggungjawab bersama agar kemudahan yang disediakan kerajaan dapat bertahan lama. “Lebih-lebih lagi pasar tamu ini yang akan menjadi tarikan orang ramai,” jelasnya. Rentap turut memaklumkan, Betong memiliki kekayaan hasil bumi termasuk kraf tangan bermutu tinggi.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak