Covid-19 masih hantui sukan dunia

Pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia memberi tamparan hebat buat sukan bersentuhan lebih-lebih lagi sukan berpasukan.

Ia merencatkan segala persiapan perlawanan sekiranya berlaku penularan wabak berkenaan dalam pasukan.

Ketika Malaysia dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), kita diuji sekali lagi apabila terdapat peningkatan kes harian daripada satu angka kepada dua angka.

Di Sarawak khasnya Bahagian Kuching diisytiharkan zon merah apabila kes meningkat mendadak dengan cacatan 41 kes dalam seminggu pada penghujung Julai lepas.

Kes ini memaksa Kerajaan Sarawak melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) antara zon satu dengan zon dua bagi membendung penularan wabak berkenaan.

Lebih mengejutkan lagi apabila lima pemain skuad bola sepak Kuching FA disahkan positif Covid-19 sekali gus menghentikan semua latihan persiapan ke Liga Premier serta-merta.

Berikutan itu semua pemain, jurulatih dan pegawai pasukan diarahkan untuk menjalani ujian swab dan kuarantin wajib di rumah masing-masing.

Kes pasukan berkenaan merupakan kes pertama berlaku di Malaysia yang melibatkan sukan berpasukan sehingga memaksa Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) menutup semua padang bola sepak dan stadium untuk disanitasi sebelum digunakan semula.

Kesan daripada kes positif Covid-19 itu turut merencatkan dua pasukan lain iaitu Sarawak United FC dan skuad Sukma Sarawak apabila menghentikan semua latihan.

Lebih menyedihkan lagi apabila pasukan itu bersedia berdepan penarikan diri dalam Liga Premier yang bakal berlangsung 26 Ogos ini sekiranya diarah untuk berbuat demikian oleh MFL.

Bagaimanapun, pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang disediakan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) yang ketat oleh Kuching FA amat membantu pasukan itu membendung wabak berkenaan apabila pemain lain didapati negatif setelah keputusan ujian swab diketahui.

Selain itu, sukan berpasukan yang lain seperti ragbi, hoki, bola jaring, bola keranjang dan futsal turut diberi peringatan supaya sentiasa mematuhi SOP dan kawalan kendiri semasa menjalani latihan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum ini juga melarang agar tiada latihan bersentuhan untuk sukan terlarang sehingga semua pemain dalam pasukan yang berlatih didapati negatif Covid-19 setelah menjalani ujian Swab.

Kebenaran berlatih bersama-sama juga tertakluk kepada SOP yang telah disediakan.

Selain itu, sukan individu tanpa bersentuhan juga berdepan risiko penularan Covid-19.

Ini terbukti apabila SSC terpaksa menutup Pusat Akuatik Pandelela Rinong selama seminggu kerana bapa salah seorang atlet terjun mereka bekerja di Pasar Basah Stutong, kawasan tersebut telah ditutup buat sementara kerana terdapat kes positif.

Kes pertama Covid-19 melibatkan atlet Malaysia juga adalah daripada sukan tanpa bersentuhan apabila jaguh tukul besi negara Jackie Wong disahkan positif kerana dijangkiti oleh bapa beliau dan telah menjalani rawatan dan kuarantin selama 73 hari di Hospital Sibu.

Bagaimanapun,kedua-dua jenis sukan mempunyai risiko yang berbeza apabila peratus risiko penularan virus berkenaan lebih tinggi untuk sukan bersentuhan berbanding sukan tanpa bersentuhan walaupun mematuhi SOP yang telah ditetapkan.

Penularan Covid-19 dalam kalangan pemain pasukan juga akan merencatkan perancangan awal yang telah disediakan oleh pihak pengurusan pasukan bagi mengharungi aksi perlawanan yang akan datang.

Malahan ia turut membimbangkan pasukan lawan yang bakal berentap dengan pasukan yang terjejas akibat Covid-19 apabila berdepan risiko untuk dijangkiti virus berkenaan sekiranya meneruskan aksi perlawanan.

Selain itu, penularan dalam pasukan juga mungkin akan memberi tekanan mental dan menjejaskan prestasi pemain kerana sebelum ini mereka telah lama tidak beraksi sepanjang tempoh berkurung yang telah dilaksanakan oleh kerajaan.

Ia turut menjejaskan pihak pengurusan pasukan yang mungkin bakal berdepan masalah kewangan kerana tiada aksi dan penaja mungkin berisiko untuk menarik diri.

Kesimpulannya, pandemik Covid-19 memberi impak besar buat sukan berpasukan dan bersentuhan dalam meneruskan aktiviti latihan dan penyambungan semula aksi perlawanan yang telah tertangguh.

Namun, pematuhan SOP yang telah disediakan oleh kerajaan untuk sukan berpasukan amat membantu mereka untuk meneruskan latihan harian sekali gus.

Yang pasti, sukan di seluruh dunia masih lagi dihantui virus misteri yang belum ada penawar ini walaupun beberapa negara telah pun menyambung aktiviti sukan.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak