Dendam Bujang Senang belum berakhir

APABILA anda berkunjung ke Taman Buaya Jong di Siburan, sekitar 40 kilometer dari bandar raya Kuching, jangan melepaskan peluang untuk mengetahui sejarah buaya legenda, si Bujang Senang.

Meskipun ditangkap dan dibunuh pada 20 Mei 1992, namun kisah kerakusannya terhadap manusia sangat menyeramkan.

Buktinya, pengunjung boleh menyaksikan sendiri tengkorak Bujang Senang yang diabadikan di Muzium Taman Buaya Jong.

Tengkorak ini menjadi tontonan ramai dan bukti kewujudan buaya gergasi itu – ternyata ia bukan sekadar mitos atau cerita dongeng.

Menariknya, pengunjung berpeluang membaling wang ke dalam tengkorak Bujang Senang yang diletakkan di dalam kotak lut sinar.

Menurut Pengurus Taman Buaya Jong Teoh Yia Qing, tengkorak buaya sengaja diletak di situ dan pengunjung membaling wang ke dalamnya sebagai cara untuk menebus dosa Bujang Senang.

“Ia umpama penebusan dosa Bujang Senang yang banyak meragut nyawa manusia ketika hayatnya.

“Jadi, orang ramai yang memberi sumbangan ke dalam tengkorak itu seolah-olah menebus kembali kemusnahan hati penduduk yang kehilangan keluarga akibat kerakusan Bujang Senang.

“Wang ini pula kami akan sumbangkan kepada badan-badan kebajikan di kawasan Kuching,” katanya kepada Suara Sarawak.

Katanya lagi, menariknya si Bujang Senang ialah ia spesies buaya yang pada bahagian belakangnya berwarna putih.

Semua rakyat di negeri ini tahu siapa atau apakah pemilik nama Bujang Senang.

Ia dikatakan wujud 200 tahun lalu apabila seorang pahlawan Iban yang berasal dari Saribas bernama Lungu menyerang penduduk di sekitar Batang Lupar.

Lungu digambarkan seorang yang kebal, malah diangkat sebagai jaguh ngayau – tukang potong kepala.

Apabila Lungu membunuh musuhnya, satu kampung akan ketakutan. Penduduk Batang Lupar tidak mampu menahan derita melihat pertumpahan darah lalu merayu bantuan isterinya.

Isteri Lungu yang kasihan dengan tangisan dan penderitaan orang kampung membuka rahsia yang tertutup rapat – satu-satunya punca kuasa Lungu kebal.

GAMBAR ARKIB… Inilah Bujang Senang, buaya berwarna putih pada bahagian belakang dan saiznya yang besar berjaya ditangkap pada 20 Mei 1992.

Bawalah dia ke sungai Batang Lupar kerana air di situ satu-satunya yang melemahkan kekebalan Lungu.

Sebaiknya tubuhnya terkena air, seluruh kuasa dan kekebalannya akan luntur – kata isterinya.

Tidak lama selepas itu, penduduk Batang Lupar berkumpul beramai-ramai untuk menyerang Lungu dan mengheretnya ke sungai.

Mereka memotong kepala Lungu dan mayatnya disemadikan secara terbalik di tebing sungai berkenaan.

Tetapi tiada siapa menyangka, di dasar Batang Lupar ada dewa yang mengalu-alukan kedatangan Lungu.

Foto: Ghazali Bujang

Dewa sungai menjelmakan Lungu kepada seekor buaya putih gergasi.

Di sinilah bermula dendam Lungu – dendam seorang suami yang menjelma menjadi Bujang Senang – memburu musuh dan keturunan yang mengkhianatinya.

Selepas itu, si Bujang Senang terus menguasai sungai Batang Lupar dan membaham mangsa pada 1982 hingga 1991 yang dipercayai mencecah 13 korban.

Kemuncak keganasan Bujang Senang berlaku pada 20 Mei 1992, apabila menyambar mangsa ke-14 – Dayang anak Bayang, 20, ketika gadis Iban itu menyeberangi Sungai Pelaban bersama-sama ibunya.

Foto: Ghazali Bujang

Berang dengan kejadian berkenaan, puluhan penduduk Iban memburu Bujang Senang.

Pada hari kejadian, selepas empat jam menjejaki Bujang Senang, buaya ganas itu berjaya dikepung di kawasan sungai tetapi cubaan membunuhnya menggunakan lembing dan peluru gagal.

Benarlah, ia bukan buaya biasa kerana tidak lut lembing dan peluru.

Penduduk kemudian sepakat memanggil seorang dukun Iban.

Dukun berkenaan menyediakan 40 paku sepanjang 10 sentimeter dan menembak ke tubuh Bujang Senang.

Akhirnya, ia tewas dan bangkainya dibawa ke darat pada hari berkenaan.

Foto: Ghazali Bujang

Akhirnya tamat riwayat Bujang Senang pada Mei 1992 – tewas di tangan seorang dukun.

Namun legendanya masih hidup hingga hari ini. Setiap kali ada serangan buaya, pasti ada yang menganggapnya keturunan Bujang Senang yang membalas dendam.

Berdasarkan penyelidikan pada 2015, terdapat 13,500 buaya di lebih 40 sungai di Sarawak.

Kota Samarahan mencatat peratus peningkatan populasi cukup tinggi, menjangkau sehingga 108.5 peratus berbanding 1985, manakala Limbang 38 peratus dan Batang Lupar 28 peratus.

Dalam tempoh 31 tahun, Batang Samarahan dikatakan mengalami peningkatan populasi buaya sebanyak 185 peratus, dengan anggaran sebanyak 2.18 buaya untuk setiap kilometer.

Dalam tempoh sama, Sungai Limbang mencatatkan peningkatan populasi sebanyak 38 peratus manakala Batang Lupar sebanyak 28 peratus.

Menurut Perbadanan Hutan Sarawak, antara punca spesies buaya berkonflik dengan manusia adalah disebabkan kekurangan makanan, buaya yang uzur dan tidak lagi gagah mencari makan, serta melindungi sarang tempat menyimpan telurnya.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak