Hujan lebat di Korea Selatan: Tujuh hilang, lima maut

SEOUL: Hujan lebat yang melanda sebahagian besar wilayah tengah Korea Selatan meragut lima jiwa manakala tujuh lagi dilaporkan hilang.

Mengutip laporan Floodlist, Pentadbiran Meteorologi Korea (KMA) melaporkan hujan melebihi 290 mm melanda wilayah Gyeonggi dan wilayah Chungcheong Utara dalam tempoh 24 jam.

Keadaan itu mengakibatkan tanah runtuh di puluhan kawasan, selain membanjiri kawasan perumahan, jalan raya serta memusnahkan beberapa struktur di tebing sungai.

Wilayah Chungcheong Utara merupakan kawasan paling teruk terjejas dengan banyak rumah rosak, jalan ditutup dan perkhidmatan kereta api digantung sementara.

Banjir dan tanah runtuh turut menyebabkan dua kematian di Eumseong, masing-masing di Chungju dan Jecheon.

Manakala lebih 80 rumah ditenggelami banjir di Chungju, memaksa 120 penduduk berpindah. Amaran pemindahan turut dikeluarkan bagi hampir 5,000 penduduk di daerah Eumseong kerana risiko banjir.

Sekurang-kurangnya tujuh masih hilang di wilayah itu, termasuk seorang anggota bomba yang dihanyutkan oleh arus deras banjir di Chungju dan tiga lagi mangsa dihanyutkan banjir di Danyang.

Banjir turut menjejaskan sebahagian Wilayah Gyeong, yang mengelilingi ibu negara Seoul.

Seorang dilaporkan terkorban dalam tanah runtuh di Anseong dan sekitar 200 penduduk di kampung Yeoju dipindahkan. Bencana banjir besar itu merupakan yang keempat melanda Korea Selatan sejak pertengahan Julai lalu. – AFP

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak