Jangan biarkan rakyat merana

BETONG: Pelan induk sistem pengairan dan saliran di Betong bagi menyelesaikan masalah banjir kilat kini sudah siap dan sedia untuk dibentangkan.

Adun Layar Gerald Rentap Jabu berkata, isu banjir kilat khususnya di kampung dan taman perumahan di Betong harus diberikan perhatian serius.

“Kami sudah menyiapkan pelan induk sistem pengairan dan saliran di Betong untuk penyelesaian jangka panjang.

“Ya memang diakui memerlukan belanja yang agak besar, tetapi kalau tidak diselesaikan segera, rakyat akan terus merana.

“Justeru itu, kami komited dan berharap ia dapat dilaksanakan bermula pada Rancangan Malaysia Ke-12,” katanya kepada Suara Sarawak selepas menyerahkan cek sumbangan kepada 29 penerima di sini, kelmarin.

Beliau berharap dengan terlaksananya projek tersebut kelak, ia dapat mengatasi sepenuhnya isu banjir kilat yang sering melanda dan mengundang kegusaran rakyat.

Rentap terdahulu menyampaikan cek sumbangan bernilai RM412,000 kepada 16 sekolah, enam surau di Kampung Melayu Betong dan tujuh pertubuhan bukan kerajaan lain.

“Semoga dengan sumbangan ini, penerima dapat menjalankan aktiviti masing-masing,” katanya.

Beliau pada majlis yang sama turut melakukan simbolik penyerahan pelitup muka kepada ketua masyarakat Iban, Melayu dan Cina untuk diagihkan kepada setiap ketua isi rumah di kawasan Dun Layar.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak