Jangan tinggalkan punca api

BETONG: Jangan tinggalkan punca api di tapak pelupusan sampah kerana ia boleh mencetuskan kebakaran besar, lebih-lebih lagi pada musim kering dan panas ketika ini.

Ketua Bomba dan Penyelamat Betong Vincent Baling Yabi meluahkan kebimbangan terhadap individu yang tidak bertanggungjawab menyebabkan kebakaran.

Menurutnya, kebakaran sisa buangan di Tapak Pelupusan Sampah dekat Jalan Lidong kerap berulang.

“Setiap tahun, pihak kita mesti menerima panggilan kecemasan tentang kebakaran di situ.

Walaupun hanya kes kecil, tetapi boleh menyebabkan pencemaran udara yang serius termasuk jerebu.

“Yang pasti, ia disebabkan oleh individu yang tidak bertanggungjawab.

“Justeru, orang ramai diingatkan agar tidak meninggalkan punca api di tapak pelupusan ketika membuang sampah terutamanya api rokok atau tidak melakukan pembakaran,” katanya kepada Suara Sarawak, semalam.

Jelasnya, begitu juga dalam kes lain iaitu pemilik ladang, pekebun kecil atau sesiapa pun berperanan untuk bersama-sama mencegah aktiviti pembakaran terbuka.

“Kalau ada, cuba kawal kebakaran yang masih kecil sehingga api benar-benar padam sebelum meninggalkan kawasan tersebut,” ujarnya.

Terdahulu, lapan anggota diketuai Sapuan Abu memadam kebakaran dua longgokan sampah seluas 16 meter persegi di Tapak Pelupusan Sampah dekat Jalan Lidong.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak