Kalau PKR saman, saya lawan di mahkamah

KUCHING: Ahli Parlimen Puncak Borneo Willie Mongin mendakwa belum menerima surat tuntutan saman berjumlah RM10 juta daripada PKR.

Menurutnya, beliau tidak pernah menandatangani sebarang persetujuan semasa bersama PKR.

“Saya tidak pernah tanda tangan sebarang bon atau apa-apa dokumen. Setakat ini saya tidak terima. “Kalau mereka mengambil tindakan mahkamah, saya akan lawan di mahkamah.

“Setakat ini saya tidak menandatangani apa-apa bon dengan parti,” katanya kepada pemberita selepas menyerah cek kepada Gereja St Francis Xavier di Kampung Seratau, Siburan kelmarin.

Terdahulu Bendahari PKR, Lee Chean Chung berkata, parti itu mengeluarkan surat tuntutan saman kepada 19 ahli parlimen yang keluar parti.

Setakat hari ini Willie mengesahkan belum menyertai mana-mana parti politik tetapi mesra kepada Perikatan Nasional dan GPS.

Beliau akan terus menyokong Kerajaan Persekutuan dan bekerjasama dengan Kerajaan Sarawak.

“Saya terus memberi komitmen untuk terus bekerjasama demi kesejahteraan rakyat.

“Semasa pilihan raya negeri akan datang, saya akan memberi sokongan kepada kerajaan pemerintah,” ujarnya.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak