Kami tidak mahu ambil risiko

SIBU: Perkhidmatan bot ekspres dari sektor Sibu-Kuching-Sibu dihentikan sementara sepanjang tempoh larangan perjalanan antara zon mulai 1 Ogos lalu hingga 14 Ogos ini.

Pengendali perkhidmatan sektor tersebut yang enggan dikenali berkata, notis larangan itu ditampal di kaunter tiket bot ekspres untuk makluman penumpang.

“Sebab utama menghentikan sementara perkhidmatan tersebut kerana jumlah penumpang yang rendah ditambah lagi dengan faktor Kuching telah diisytiharkan dari zon merah dan kini zon kuning.

“Jadi, kami tidak mahu mengambil risiko,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Sementara itu, notis berkenaan memaklumkan bahawa perkhidmatan akan disambung semula pada 15 Ogos ini, sekiranya larangan perjalanan antara zon dibenarkan semula.

Sementara itu, Penolong Kontroler Lembaga Sungai Sarawak (LSS) Wilayah II Sibu Hatta Morshidi ketika dihubungi semalam berkata, keputusan pengendali bot ekspres untuk tidak beroperasi mungkin disebabkan kurangnya penumpang setelah Kuching dikategorikan sebagai zon merah dan kini zon kuning.

Beliau berkata, pihaknya tidak mengeluarkan sebarang arahan untuk menghentikan sementara waktu perkhidmatan bot ekspres untuk sektor Sibu-Kuching.

“Perjalanan antara zon masih dibenarkan dengan syarat penumpang mempunyai permit sah daripada pihak polis atas sebab-sebab munasabah untuk pergi ke Kuching.

“Perkhidmatan bot ekspres dikategorikan sebagai perkhidmatan penting dan tiada halangan untuk mereka,” ujarnya lagi.

Untuk rekod, waktu perjalanan bot ekspres dari Sibu ke Kuching ialah pada jam 11.30 pagi dan jam 8.30 pagi dari Kuching ke Sibu pada setiap hari.

Suara Sarawak