Ke arah status kota metropolis

KUCHING: Bandar raya Kuching kini bergerak pantas ke arah mencapai status kota metropolis dengan pembangunan berteraskan digital dan budaya.

Malah Kerajaan Sarawak juga merancang membangunkan semula sebahagian kawasan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) dan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) sebagai bandar raya moden selari dengan bandar maju lain di dunia, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, setakat ini Kerajaan Sarawak meluluskan pelan induk pembangunan terbabit dan akan dilaksanakan lima tahun lagi.

“Di bawah MBKS, kita akan membangunkan kawasan Padungan manakala di bawah bidang kuasa DBKU, ia bermula dari Hikmah Exchange hingga ke Jalan P.Ramlee.

“Ini antara usaha Kerajaan Sarawak mencantikkan dan memodenkan bandar raya Kuching bagi menarik ramai pengunjung,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sambutan Ulang Tahun Ke-32 Bandar Raya Kuching di Dataran MBKS dengan pematuhan SOP tahap tinggi di sini, semalam.

Menurut Abang Johari, kawasan itu bakal dihubungkan dengan Transit Aliran Autonomi (ART) dan kemudahan yang lebih moden.

“Bagi tujuan itu, kita mengalu-alukan penglibatan syarikat swasta.

“Malah, inisiatif digital yang diperkenalkan Kerajaan Sarawak kini menjadi rujukan kepada negeri lain di Malaysia,” jelasnya.

Katanya lagi, bandar raya Kuching agak unik kerana mempunyai sejarah tersendiri dan apabila ia berubah kepada bandar raya pintar kelak, budaya perpaduan di Sarawak harus dipertahankan.

“Justeru, unsur-unsur perpaduan perlu dikekalkan selari dengan Sarawak sebagai model perpaduan di peringkat nasional,” ujarnya.

Bandar Kuching dihuni sekitar 700,000 jiwa itu telah diangkat Bandar Raya Perpaduan yang pertama di dunia pada 1 Ogos 2015.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak