Keldai dadah terlepas tali gantung

KUCHING: Seorang keldai dadah warga asing terlepas tali gantung setelah Mahkamah Persekutuan menerima rayuannya agar tidak dijatuhi hukuman gantung dan menggantikan hukuman berkenaan kepada 19 tahun penjara, di sini semalam.

Panel hakim dipengerusikan oleh Hakim Datuk Rohana Yusof bersama-sama Datuk Mohd Zawawi Salleh dan Datuk Abdul Rahmab Sebli mengetepikan hukuman gantung yang dikenakan terhadap Eva Syliviana kerana didapati bersalah mengedar dadah pada 2014.

“Setelah meneliti penghujahan pihak pendakwaan dan pihak pe-rayu, mahkamah sebulat suara menerima permohonan rayuan berkenaan dan menjatuhkan hu-kuman 19 tahun penjara terhadap Eva yang kini berusia 53 tahun”.

“Hukuman berjalan mulai dari tarikh ditangkap pada 5 November 2014,” kata Rohana dalam persidangan yang dilaksanakan menerusi aplikasi dalam talian.

Pada 11 Oktober 2016, perayu yang berasal dari Jakarta telah dijatuhi hukuman gantung oleh Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Rhozariah Bujang setelah didapati bersalah di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Perayu menerusi peguam bela Ranbir Singh telah memohon kepada Jabatan Peguam Negara untuk meminda pertuduhan kepada Seksyen 39A(2) akta yang sama.

Ibu tunggal kepada enam anak itu didakwa mengedar dadah jenis methamphetamin seberat 4,874 gram pada 5 November 2014 di pejabat unit khas pemeriksaan (UKPP) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada jam 11.30 malam.

Dadah berkenaan ditemui di dalam bagasi perayu yang menaiki penerbangan dari Hong Kong dan kemudian dari Kuala Lumpur ke sini.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak