Kemalangan maut motosikal bertembung Avanza

KUCHING: Seorang penunggang motosikal maut manakala pembocengnya mengalami kecederaan parah di bahagian kaki kiri setelah motosikal dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kereta Avanza di Batu 4, Jalan Kuching-Serian, awal pagi tadi.

Ketua Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata, kemalangan berlaku berhampiran di lampu isyarat berhampiran lokasi sekitar jam 3 pagi.

Menurutnya, kejadian dipercayai berpunca setelah motosikal terbabit melanggar arahan lampu isyarat menyebabkan berlakunya pertembungan di antara kedua-dua kenderaan.

Dedahnya, kenderaan motokar dinaiki oleh pasangan suami isteri masing-masing berusia 37 dan 39 tahun bergerak dari arah Padawan menuju ke pusat bandar semasa lampu isyarat di lokasi berwarna hijau.

“Siasatan mendapati pertembungan berlaku setelah sebuah motosikal jenis Yamaha 135LC yang datang dari arah Kuching menuju ke Batu Kawa disyaki melanggar lampu isyarat merah.

HANCUR… pertembungan menyebabkan kerosakan teruk pada kedua-dua kenderaan

“Akibat kejadian penunggang motosikal dikenali sebagai Simon Gerahi, 23, disahkan maut di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Umum Sarawak(HUS) akibat mengalami kecederaan parah di kepala,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, pembonceng motosikal, 26, yang mengalami kecederaan parah di bahagian kaki sebelah kiri telah dihantar ke HUS untuk tindakan rawatan lanjut manakala pemandu dan penumpang tidak mengalami apa-apa kecederaan.

Susulan itu, kata Alexson, kedua-dua kenderaan terbabit kemalangan telah dibawa ke balai trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Padawan untuk tindakan siasatan lanjut.

Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak