Kerajaan jangka umum pelan induk ekonomi digital pada Oktober – Mustapa

KUALA LUMPUR: Kerajaan menjangka mengumumkan Pelan Induk Ekonomi Digital pada Oktober depan sebagai satu inisiatif mengembangkan semua sektor termasuk bukan pembuatan di negara ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata pada tahun lepas, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telah memperkenalkan dasar Industry4WRD, tetapi ia hanya melibatkan sektor pembuatan.

“MITI telah membuat keputusan untuk mengembangkan dasar tersebut kepada bidang bukan pembuatan.

“Jadi, kerajaan telah hampir habiskan kajian mengenai Revolusi Industri 4.0 ini, dan ia akan dicantumkan dengan ekonomi digital,” katanya selepas melancarkan majlis Program “Menjana Ekonomi Digital @ Pasarman.com” di sini, hari ini.

Mustapa berkata dengan adanya pelan tersebut, sudah pasti sektor lain akan dapat dikembangkan dengan lebih pesat lagi.

“Kita akan membentangkan (pelan tersebut) kepada kerajaan, apabila ia diluluskan, ia akan diumumkan dalam masa dua bulan,” katanya.

Beliau berkata kerajaan juga sedang menyelaraskan agensi-agensi yang terlibat dalam perkembangan sektor digital berikutan pihak yang terlibat dalam sektor itu kini terlalu banyak.

“Pada masa ini, yang banyak terlibat adalah dari Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

“Bagaimanapun, terdapat banyak pihak lain juga yang terlibat, justeru, usaha penyelarasan diperlukan,” katanya.

Mustapa berkata elemen pelan induk ekonomi digital tersebut telah diwujudkan di pelbagai agensi kerajaan seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), MDEC dan lain-lain lagi.

“Cuma yang kita kaji ini adalah cara-cara untuk memantapkan sektor digital ini, khususnya selepas COVID-19, sektor ini telah menjadi lebih relevan dan penting untuk kita menyelaraskan usaha-usaha ini,” katanya.

Mustapa berkata usaha penyelarasan dengan agensi tertentu hampir muktamad iaitu kerajaan telah berbincang dengan pelbagai pihak, termasuk pihak swasta.

— BERNAMA

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak