Kerap dicekik suami angkara cemburu

MIRI: Tidak tahan sering dipukul suami, seorang wanita berusia 24 tahun nekad membuat laporan polis.

Bertindak atas laporan itu, suspek ditahan di sebuah rumah di Senadin Fasa 1 di sini pada hari yang sama, sekitar jam 11.30 malam.

Menurut sumber, suspek berusia 36 tahun sering memukul mangsa dalam setiap pertengkaran.

Kejadian terakhir berlaku pada 11 Ogos lalu di kediaman mereka sekitar jam 8.30 malam apabila suspek bertindak memukul bahagian muka dan mencekik leher mangsa.

Susulan kejadian, mangsa dilaporkan mengalami kecederaan di kepala, pendarahan dalam bahagian mulut serta calar pada leher dan rahang.

Punca kejadian dipercayai disebabkan suspek berasa cemburu dan menuduh mangsa melakukan perbuatan curang dengan lelaki lain.

Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.

Suara Sarawak