Kurangkan aktiviti luar, banyak minum air

MIRI: Warga Miri diminta mengurangkan aktiviti di luar sekiranya berlaku jerebu susulan musim kemarau yang dijangka berterusan melanda bahagian ini hingga bulan depan.

Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Sebastian Ting berkata, orang ramai terutamanya warga emas dan kanak-kanak perlu mengelakkan aktiviti di luar rumah pada musim panas dan kering.

“Buat masa ini, kita perlu mengelakkan aktiviti di luar dan banyak minum air kerana keadaan cuaca amat panas.

“Lebih-lebih lagi, kalau keadaan bertambah teruk akan berlaku jerebu seperti tahun-tahun sebelum ini,” katanya ketika ditemui di SK Jalan Bintang selepas menyerahkan 1,230 pelitup muka kepada pihak sekolah semalam.

Sebastian yang juga Adun Piasau memberitahu, setakat ini, sebanyak 18,000 pelitup muka diedarkan ke 17 sekolah di kawasan Piasau sepanjang pandemik Covid-19.

“Selain itu, kami juga mengedarkan terminal pengecam wajah dan pengimbas suhu ke sekolah-sekolah, “ jelasnya.

Sementara itu, ditanya tentang aktiviti pelancongan di negeri ini selepas diumumkan sebagai zon hijau, beliau menekankan bahawa pelancongan domestik adalah pilihan terbaik.

“Walaupun Sarawak sudah diisytihar sebagai zon hijau, adalah lebih baik jika kita tumpukan kepada pelancongan domestik.

“Lagipun, kebanyakan pintu sempadan negara masih ditutup bagi memastikan penularan Covid-19 dapat dikawal kerana keselamatan rakyat menjadi keutamaan kerajaan,” tambahnya.

Guru Besar SK Jalan Bintang Ahmad Othman dan Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah Iqbal Abdollah antara yang turut hadir.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak