Lada Betong terbang ke Eropah

BETONG: Kerajaan Sarawak memperkasa pekebun lada di Betong khususnya dengan penyediaan mesin pemprosesan serta membeli produk lada dengan harga munasabah melalui Pertubuhan Peladang Kawasan walaupun harga pasaran jatuh.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pemain industri juga memproses serta menambah baik pembungkusan produk menggunakan teknologi moden supaya potensinya dapat ditingkatkan bagi tujuan eksport ke Singapura dan negara-negara Eropah.

Menurutnya, Bahagian Betong merupakan pengeluar komoditi lada terbesar di Sarawak.

“Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah (Manred) akan membekalkan mesin tersebut untuk dipasang di pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan di sini… ketika ini sedang dinaik taraf.

“Saya tahu ramai pekebun lada di sini masih menjaga tanaman masing-masing walaupun harga pasaran rendah ketika ini.

Ini baik untuk industri,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah berkata demikian semasa merasmikan Program Jangkauan Komuniti Lanjutan anjuran Jabatan Pertanian Sarawak di rumah panjang Jambai Bunsu, Kerapa Spak semalam.

Jelasnya, pihak terbabit turut membeli lada dengan harga yang berpatutan.

“Mereka seterusnya memproses dan membungkus produk lada tersebut menggunakan teknologi moden supaya potensinya dapat ditingkatkan bagi tujuan eksport ke Singapura dan negara-negara Eropah.

“Ini merupakan salah satu usaha kerajaan membantu pekebun lada di sini.

“Manred tahun ini juga bersetuju memberikan subsidi baja bernilai RM2,000 kepada setiap keluarga tani di sini.

“Biarpun mungkin tidak mencukupi, tetapi diharap dapat membantu mengurangkan kos penyelenggaraan yang ditanggung,” ujarnya.

Sementara bagi tanaman getah, Uggah mencadangkan agar pokok lama yang tidak produktif dijadikan sumber pendapatan baharu seperti industri perabot.

“Di Bahagian Betong sahaja, tidak kurang 1,300 hektar kawasan ditanam getah.

“Mungkin pokok-pokok yang tidak lagi mengeluarkan getah, kita tebang untuk dimanfaatkan dalam industri perabot… ada syarikat yang berminat.

“Bagaimanapun, saya perlu berbincang dengan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg terlebih dahulu untuk persetujuan,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, bekas Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang meluahkan keyakinan terhadap Uggah dan Kerajaan GPS dalam mengembangkan potensi pertanian di negeri ini.

“Bahagian Betong turut menikmati perkembangan yang pantas dan inklusif.

Justeru, saya yakin di bawah pemerintahan GPS, akan lebih banyak pembangunan dapat dinikmati oleh rakyat,” jelasnya.

Jabu menasihatkan pengundi untuk memberikan sokongan penuh kepada Uggah dalam mempertahankan kerusi Bukit Saban pada PRN-12 kelak.

Hadir sama Adun Layar Gerald Rentap Jabu; Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Dr. Richard Rapu; Setiausaha Tetap Manred Edwin Abit dan Residen Bahagian Betong Friday Belik.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak