Langkah baharu strategi ekonomi digital

KUCHING: Penyertaan Centre of Excellence (CoE) dalam ekonomi digital menjadi satu langkah baharu untuk Sarawak meneruskan sasaran dalam strategi ekonomi digital.

Pengurus Besar Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) Dr Zaidi Razak berkata, inisiatif itu dimulakan oleh SMA dan kini Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) akan meneruskan usaha untuk menggalakkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan.

“Penyelidikan yang dijalankan di CoE OpenLab akan membantu menyelesaikan masalah dan mencari penyelesaian bagi merealisasikan agenda Strategi Ekonomi Digital 2018-2022,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

CoE dilancarkan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di CoE OpenLab, semalam.

CoE direka khas untuk memenuhi penyelidikan dengan potensi komersial dan impak yang tinggi.

CoE merangkumi University KeyLabs, CoE OpenLab dan Kajian Ekonomi Digital.

CoE OpenLab yang terletak di Centexs Santubong dibiayai sepenuhnya oleh SMA dan diuruskan oleh SDEC.

Dua Kajian Ekonomi Digital CoE akan memberi fokus kepada 5G dan teknologi Sigfox yang akan ditempatkan di kampus Centexs Santubong.

Selain itu, SDEC yang menjadi cabang pelaksanaan untuk inisiatif digital ekonomi diberi mandat untuk mengurus aktiviti penyelidikan dan pembangunan di seluruh Sarawak agar mencapai aspirasi yang digariskan dalam Strategi Ekonomi Digital Sarawak 2018-2022.

CoE OpenLab menjadi kunci fasiliti antara digital Sarawak dan ekosistem inovasi iaitu ekosistem yang merangkumi Hab Inovasi Digital dan Kampung Digital.

Ia juga akan berfungsi sebagai pemangkin untuk membangunkan penyelidikan impak tinggi berasaskan universiti dalam bidang ekonomi digital.

Selain itu, melancar dan mengkomersialkan penyelidik dengan mengakses alat dan teknologi yang disediakan oleh rakan kongsi bagi meningkatkan lagi penyelidikan dan pengembangan produk mereka.

Ini akan memastikan pengkomersialan sesuai bukan hanya untuk pasaran di Sarawak malah secara global.

Pelancaran CoE turut melibatkan pelbagai rakan kongsi, penyelidik dan pemula.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SDEC Sudarnoto Osman berkata, pihaknya komited menganjakkan digitalisasi di Sarawak.

“Dengan adanya CoE, kami mengharapkan lebih banyak kerjasama dengan pihak kerajaan, sektor swasta (termasuk syarikat multinasional) dan institusi pengajian tinggi untuk menggalakkan budaya penyelidikan dan inovasi.

“Ini akan memacu ekonomi digital kita dan membuka jalan yang lebih besar untuk Sarawak” jelasnya.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak