Lima pengusaha mata wang kripto di Sibu ditangkap curi elektrik

SIBU: Lima pengusaha “perlombongan” mata wang digital atau kripto di sini ditangkap kerana mencuri elektrik.

Kegiatan haram itu terbongkar dalam operasi dua hari yang dijalankan Sarawak Energy Berhad (SEB) bersama Unit Pemeriksaan Elektrik (EIU) Kementerian Utiliti dan polis baru-baru ini.

SEB dalam kenyataan semalam berkata kegiatan itu dikesan di empat buah rumah kedai di Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce, Jalan Pahlawan dan Jalan Tunku Abdul Rahman.

“Hasil pemeriksaan mendapati bil bulanan bagi kelimalima rumah kedai itu berjumlah sekitar RM800 hingga RM1,000 walaupun beroperasi 24 jam.

“Bagaimanapun bacaan meter sebenar yang dilakukan menunjukkan kelima-lima premis itu menggunakan elektrik bernilai sekurang-kurangnya RM250,000 sebulan,” katanya.

EIU bersama dengan Sarawak Energy telah menyiasat sekitar 50 kes kecurian elektrik yang berkaitan dengan pengusaha “perlombongan” mata wang kripto di negeri ini sejak 2018.

Kes-kes ini kini menunggu pendakwaan oleh Jabatan Peguam Negara, Sarawak. Mencuri elektrik adalah kesalahan jenayah di bawah Seksyen 33 (5) Ordinan Elektrik Sarawak, yang membawa hukuman sehingga RM100,000 dan atau penjara lima tahun.

Penyambungan elektrik secara haram tidak hanya dilarang tetapi juga menimbulkan bahaya seperti litar pintas, kebakaran dan kerosakan pada peralatan elektrik.

Orang ramai digalakkan untuk melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan kepada pusat penjagaan pelanggan Sarawak Energy di talian 1300-88-3111 atau e-mel customercare@sarawakenergy.com.

Semua maklumat yang diperolehi akan dirahsiakan.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak