Mati dalam kereta

KUCHING: Seorang lelaki ditemui meninggal dunia dipercayai membunuh diri di dalam keretanya yang diletakkan di sebuah tempat letak kenderaan di tapak bekas sebuah jabatan kerajaan di Jalan Dusun, di sini pagi tadi.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Awang Din Awang Gani, pihaknya menerima panggilan sekitar jam 9.28 pagi tadi daripada orang awam yang memaklumkan kejadian apabila mendapati sebuah kenderaan jenis Proton Saga Aeroback berwarna merah yang mencurigakan.

“Maklumat awam memberitahu kemungkinan ada orang membunuh diri di dalam kenderaan berkenaan apabila terdapat satu saluran hos dimasukkan ke dalam kenderaan itu yang disambung terus ke ekzos.

“Sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak bersama pegawai perubatan Hospital Umum Sarawak (HUS) telah ke tempat kejadian dan membuat pemeriksaan, di mana mangsa disahkan meninggal dunia di dalam kenderaan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pemeriksaan tubuh badan juga dibuat dan mendapati tiada sebarang kecederaan yang dialami mangsa, yang merupakan warga tempatan berusia 51 tahun.

Awang Din berkata mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk tindakan lanjut.

Menurutnya kes disiasat sebagai mati mengejut (SDR) kerana siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak