Proaktif salur bantuan

KUCHING: PBB Cawangan Pantai Damai terus proaktif dalam menyalurkan bantuan keperluan asas kepada golongan memerlukan.

Sebelum ini, bantuan yang disalurkan berikutan pendemik Covid-19 melalui ketua kaum, namun sekarang peranan Ketua PBB Ranting diaktifkan untuk menyerahkan bantuan kepada penerima.

Naib Presiden PBB Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, ia untuk memastikan setiap kepimpinan di kampung memainkan peranan masing-masing secara lebih aktif dan berkesan.

“Sekarang kami mahu kepimpinan ranting memainkan peranan untuk memberikan bantuan kepada masyarakat yang memerlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Perjumpaan Bersama Ketua-Ketua PBB Ranting Cawangan Pantai Damai di sini, kelmarin.

Dr Abdul Rahman yang juga Adun Pantai Damai menjelaskan, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada Mac lepas, pergerakan dan kehidupan masyarakat tersekat sehingga menimbulkan kebimbangan terutama dalam mendapatkan keperluan asas.

“Oleh itu, kami mengambil pendekatan memberikan bantuan sejak PKP diperkenalkan untuk membantu golongan berpendapatan rendah, asnaf, warga emas, anak yatim dan mereka yang terputus pendapatan,” tambahnya.

Menurutnya, secara keseluruhan sebanyak 6,500 barangan keperluan asas diserahkan kepada penerima yang memerlukan di kawasan Dun Pantai Damai.

Sementara itu, Dr Abdul Rahman berkata, kepimpinan ranting juga digesa mengutamakan program kebajikan bagi memastikan lebih ramai golongan memerlukan dapat dibantu.

“Bantuan kami walaupun nampak kecil, namun ia memberi makna besar kepada penerima yang amat memerlukan,” jelasnya.

Suara Sarawak