Projek Bandar Selamat tangani masalah sosial

KUCHING: Sebagai sebuah kampung moden di kawasan Dun Demak Laut, Taman Sepakat Jaya kini terus dibangunkan menerusi Projek Bandar Selamat.

Adun Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni berkata, ini kerana perubahan masa menyaksikan berlaku pertambahan penduduk, begitu juga masalah sosial dalam kalangan belia di kawasan tersebut.

“DBKU akan menangani masalah sosial yang berlaku melalui Program Bandar Selamat.

Untuk itu, hari ini (semalam) kita melakukan penyerahan lampu limpah di padang futsal Taman Sepakat Jaya di sini,” katanya semalam.

Menurutnya, pemasangan lampu limpah dengan kos RM211,000 itu dapat membantu menangani masalah sosial yang berlaku di kawasan tersebut.

“Sebagai wakil rakyat, kita juga telah melaksanakan banyak projek pembangunan di Demak Laut.

Antaranya melalui Program Transformasi Luar Bandar (RTP) termasuk mewujudkan penutup untuk semua parit dan longkang dengan kos RM30,000.

“Ini termasuk projek membina gelanggang sepak takraw di kawasan Demak Laut yang memerlukan kos RM100,000 termasuk naik taraf surau yang kini dalam pembinaan bernilai RM50,000,” katanya.

Jelasnya lagi, tiga projek sedang diusahakan tahun ini iaitu baik pulih Dewan Sepakat Jaya dengan kos RM200,000 dan membina Rumah Pusat Komuniti dengan kos RM100,000 termasuk baik pulih padang futsal dengan kos RM50,000.

Beliau turut menyokong usaha kerajaan dalam menyediakan kemudahan komputer di rumah pusat komuntii apabila siap dibina kelak.

“Menerusi usaha ini, ia dapat memudahkan urusan penggunaan Internet penduduk di kawasan taman ini.

“Akhirnya ia dapat menjadi pusat Internet untuk penduduk di sini,” jelasnya.

Taman Sepakat Jaya yang siap dibina pada 1998, memiliki 26 blok dengan lebih 700 unit kini didiami lebih 3,000 penduduk yang kebanyakannya bekerja di kawasan perindustrian Demak Laut.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak