Projek rakyat ikut keutamaan

TATAU: Projek pembangunan di kawasan Dun Kakus dilaksanakan secara berperingkat-peringkat mengikut keperluan dan keutamaan.

Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) Datuk John Sikie Tayai berkata, ini kerana kawasan Dun Kakus begitu luas merangkumi sebahagian Daerah Selangau dan Mukah serta Tatau.

“Sebagai contoh Projek Penambah-baikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS), keutamaan akan diberikan kepada rumah panjang yang telah lama dan usang,” katanya pada majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Micheal Ugong, Sungai Kelawit, Tatau, kelmarin.

Justeru, beliau meminta penduduk di kawasan Dun berkenaan supaya bersabar menunggu pelaksanaan pembangunan yang sedang dan akan dilaksanakan Kerajaan Sarawak memandangkan pembangunan dijalankan secara berperingkat-peringkat.

Adun Kakus itu turut memaklumkan bahawa Kerajaan Sarawak tidak pernah mengabaikan keperluan rakyat khususnya dalam membawa kemajuan dan pembangunan ke setiap kawasan.

“Namun, setiap projek terbabit adalah dalam perancangan,” katanya. Tambah Sikie, kebajikan rakyat menjadi keutamaan kerajaan dengan memastikan setiap masyarakat tidak terpinggir menikmati arus pembangunan yang sedang dilaksanakan selain berpegang teguh pada janji.

“Kami minta rakyat khususnya penduduk di kawasan Kakus bersabar dengan pembangunan yang sedang kerajaan rancang,” katanya.

Pada majlis itu, Sikie mengumumkan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP), masing-masing RM20,000 dan RM5,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Biro Wanita Rumah Micheal Ugong. Pengulu Allister Ali Digat; Penghulu Lubon Kinchang; Penghulu Micheal Agul; Kaunselor Lawrance Lun dan 26 ketua masyarakat dan ketua kaum di kawasan Dun Kakus turut hadir.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak