Rampas barang bersubsidi tanpa pemilik

KUCHING: Sejumlah gula pasir, minyak masak dan petrol ditemui ditinggalkan di Tebedu semalam, dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran.

Kesemua barang kawalan bersubsidi itu kemudian dirampas oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian dan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarawak.

Pengarah KPDNHEP Sarawak Datuk Stanley Tan berkata barangan itu terdiri daripada 84 paket gula pasir 1 kilogram (kg), 51 paket minyak masak 1kg, 18 botol minyak masak 2kg dan 200 liter petrol yang dianggarkan bernilai RM874.

“Pemilik kesemua barangan ini dipercayai telah melarikan diri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Stanley berkata kes akan disiasat mengikut Seksyen 21, Akta Kawalan Bekalan 1961.

Katanya sabit kesalahan jika membabitkan sebuah pertubuhan boleh didenda tidak melebihi RM3 juta bagi setiap barang kesalahan yang dilakukan.

Manakala jika orang itu bukan sebuah pertubuhan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta bagi setiap kesalahan yang dilakukan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

“KPDNHEP dengan kerjasama jabatan serta agensi penguat kuasa akan sentiasa dan berterusan memantau, menjalankan pemeriksaan dan mengambil tindakan tegas dari semasa ke semasa untuk menangani ketirisan barang kawalan bersubsidi,” katanya.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak