Rondaan harian cegah kebakaran terbuka

KUCHING: Anggota Bomba dan Penyelamat Sarawak akan membuat rondaan harian untuk mencegah kebakaran terbuka.

Pengarah Bomba dan Penyelamat Sarawak Khirudin Drahman berkata, beliau telah menandatangani surat arahan kepada semua ketua zon dan ketua balai untuk turun padang.

“Saya telah mengarahkan semua ketua zon dan ketua balai untuk turun padang.

“Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Datuk Amar Douglas Uggah Embas telah mengeluarkan arahan Isnin lalu agar pihak yang melakukan pembakaran terbuka memberhentikan perbuatan tersebut,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat, Tabuan semalam.

Menurutnya, sebanyak 33 titik panas dilaporkan di Sarawak dan daripada jumlah itu, Bahagian Miri merekodkan 13 titik panas.

Terdahulu, Khirudin menyerahkan tujuh sijil Perakuan Bomba (FC) kepada pemilik premis kerajaan dan swasta di sini.

Kata Khirudin, JPBN telah mengeluarkan arahan kepada Residen untuk mengkaji prosedur operasi standard (SOP) yang telah dibincang dan membantu agensi.

Tambahnya, dari segi pelaksanaan susun atur anggota, logistik dan peralatan, JPBN telah mengambil langkah awal berdasarkan laporan Jabatan Meteorologi Malaysia dua minggu lalu.

Beliau memberitahu, dengan adanya penglibatan dan advokasi anggota bomba di lapangan, kebakaran dapat dicegah.

“Kami juga berbincang untuk menggunakan khidmat bomba komuniti dan bomba sukarela untuk turun padang bersama-sama kami terutama di kawasan terpencil.

“Mereka rapat dengan komuniti dan mereka dapat memberi nasihat.

“Kami beri input agar jangkaan cuaca panas pada pertengahan Ogos hingga September ini dapat ditangani bersama,” ujar Khirudin.

Mengenai peralatan untuk memadam kebakaran hutan, Khirudin menjelaskan, semua peralatan berada dalam keadaan baik.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak