Roti bakar 90 tahun

SARIKEI: Mempertahankan legasi perniagaan lebih 90 tahun bukan mudah, namun tidak mustahil, jika diusahakan dengan gigih tanpa mengenal erti putus asa.

Peniagaan Aik Seng merupakan salah satu contoh terbaik bagaimana warisan yang dikekalkan mampu menjadi sumber pendapatan seterusnya diwarisi dari generasi ke generasi.

Kopitiam yang terletak di Jalan Wharf ini masih mampu bertahan hingga ke hari ini malah, bukan sahaja dikunjungi penduduk setempat tetapi juga pelanggan dari luar Sarikei termasuk Semenanjung Malaysia, Brunei, Sabah dan Sarawak.

Menurut pewarisnya, Wong Mei Mei, 40, Aik Seng dibuka oleh datuknya, Wong Ee Nong pada awal 1930-an sebelum perang dunia kedua.

“Saya meneruskan perniagaan yang ditinggalkan oleh ibu bapa saya selepas berhenti kerja di ibu kota.

“Datuk saya Wong Ee Nong memulakan perniagaan ini iaitu pada 1930-an sebelum perang dunia kedua,” katanya kepada Suara Sarawak.

Nama Aik Seng cukup terkenal dengan hidangan roti bakar yang masih mengekalkan kaedah pembakaran arang kayu di samping menggunakan resipi tersendiri sejak turun-temurun.

Menurut Mei Mei, perniagaan keluarga itu kekal mempertahankan tradisi silam sebagai salah satu tarikan kepada pengunjungnya.

“Kedai yang anda lihat hari ini adalah tapak asal Kopitiam Aik Seng.

Reka bentuk dalamannya juga masih seperti dulu.

Jika ada perubahan sekalipun, mungkin kerana sedikit penambahan.

“Kami masih memanaskan roti dengan arang kayu kerana itulah salah satu cara terbaik untuk mengharumkan aroma roti.

Rata-rata pelanggan menyukainya.

Mungkin ada yang beranggapan agak renyah, namun hakikatnya, roti bakar arang lebih lembut dan enak,” kata graduan Universiti Sains Malaysia Pulau Pinang ini. Roti Aik Seng dijual pada harga RM2.00 hingga RM5.00 setiap set mengikut citarasa pelanggan.

Selain roti, kopitiam ini juga menyediakan pelbagai hidangan halal kepada pelanggannya. “

Saya amat terharu kerana mereka yang datang bukan sahaja pelanggan biasa tetapi juga orang kenamaan termasuk mantan Yang Dipertua Negeri Sarawak (TYT) juga pernah menikmati hidangan roti kami,” tambahnya.

Roti arang Aik Seng mengharumkan nama Sarikei.

Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak