Sarawak kini hijau

KUCHING: Sarawak kini berstatus hijau selepas Daerah Kuching dan Serian tidak mencatatkan jangkitan tempatan Covid-19 dalam tempoh 14 hari.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, ini bermakna semua daerah di Sarawak kini berstatus hijau.

“Sehubungan itu, JPBN membenarkan semua tempoh operasi perniagaan di zon satu meliputi Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian kembali seperti biasa berkuat kuasa pada 15 Ogos ini.

“Keputusan itu dibuat selepas meneliti isu semasa kes positif Covid-19 di Sarawak yang melibatkan perbincangan serta pandangan dari sudut kesihatan dan ekonomi bersama-sama KKM dan industri pelancongan,” katanya menerusi satu kenyataan semalam.

Kenyataan itu turut memberitahu, tiada kes positif direkodkan semalam menjadikan keseluruhan kes kekal 681 kes.

“Malah, tiada kes baharu yang telah pulih dan dibenarkan didiscaj dari hospital.

“Tiga orang masih menerima rawatan di wad isolasi hospital, dan jumlah kematian kekal 19 orang,” jelasnya.

Tegasnya, Sarawak turut mencatatkan 12 orang di bawah pemantauan (PUI) baharu serta tiada kes menunggu ujian makmal.

Dalam pada itu katanya, PDRM telah mengeluarkan 17 notis kompaun kerana tidak mematuhi SOP iaitu Kuching (sembilan), Kota Samarahan (tiga), Simunjan (tiga), Betong (satu) dan Sarikei (satu).

“Terdapat sepuluh tangkapan melibatkan lelaki warganegara Indonesia semasa sekatan jalan di Simunjan kerana tidak memiliki surat kebenaran untuk bergerak antara zon.

“Sebuah kenderaan diarah untuk berpatah balik dalam sekatan jalan raya antara zon yang diadakan di Daerah Simunjan dan Sri Aman kerana tidak mendapat surat kebenaran.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak