Semua agama diberi perhatian

KUCHING: Pembinaan Kompleks Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (Unifor) yang bakal dibina di Jalan Ong Tiang Swee di sini, menunjukkan satu lagi dasar inklusif yang diamalkan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dalam kepimpinannya.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah berkata, Kerajaan Negeri bukan sahaja menyediakan tapak seluas 1.2 hektar kepada pihak Unifor, malah turut memberikan geran RM70 juta untuk menampung kos pembinaannya.

“Bagi pihak semua agama bukan Islam di negeri ini, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Abang Johari atas keprihatinannya kepada kita semua.

“Pembinaan kompleks ini merupakan satu tonggak untuk Unifor, malah bagi pihak jawatankuasa, kita sangat menghargai dasar inklusif yang ditunjukkan oleh Ketua Menteri dalam menjaga kebajikan rakyatnya,” katanya.

Beliau berkata demikian, selepas mengetuai ahli jawatankuasa tersebut melawat tapak projek pembinaan Kompleks Unifor pagi semalam.

Menurut Uggah, upacara pecah tanah untuk pembinaan kompleks 10 tingkat itu bakal diadakan pada September depan.

Kompleks yang mempunyai pusat konvensyen itu turut mempunyai bangunan hijau dan teknologi pintar, termasuk stesen pengisian kenderaan elektrik.

“Pihak jawatankuasa juga telah mendapatkan persetujuan daripada pihak kerajaan untuk perancangan bangunan yang dibina,” jelas Uggah.

Sebelum tiba di lokasi, Uggah dan yang lain diberi taklimat mengenai reka bentuk bangunan yang dirancang oleh arkitek, David Ong.

Hadir sama Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian, Menteri Muda Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Penguang Manggil, Timbalan Menteri Pembangunan Tanah Asli Datuk Roland Sagah, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Jaul Samion, Adun Tellian, Yussibnosh Balo, Datu Janang Bungsu, Pengarah Unifor Richard Lon dan Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Dr Richard Rapu.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak