Sibu Jaya bandar baharu

SIBU: Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) harus bersedia menghadapi perubahan berikutan fenomena pembangunan pekan kecil menjadi kawasan separa bandar yang semakin kerap berlaku di Sarawak.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berkata, kawasan pentadbiran MDLBS agak unik kerana meliputi sebahagian besar kawasan luar bandar yang kini sedang beralih kepada kawasan separa bandar.

“Disebabkan fenomena ini, Sibu Jaya kini dilihat sebagai sebuah bandar baharu yang secara signifikan sebagai salah satu bandar yang berkembang pesat di Sarawak.

“Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg telah memberi jaminan bahawa Kerajaan Negeri akan meneruskan lebih banyak rancangan pembangunan di Sibu Jaya.

Pada masa ini, lebih banyak kemudahan telah dibina dengan baik dan projek yang sedang dijalankan baru-baru ini ialah Pusat Sukan Komuniti Azman Hashim.

“Dari segi perhubungan, Sibu Jaya akan mendapat manfaat daripada penyiapan jalan pesisir yang dijangka siap pada 2025 dan juga jalan raya sepanjang lapan kilometer yang menghubungkan Sibu Jaya ke Jalan Kong Yit Khim.

Jalan ini akan membangunkan Sibu Jaya sebagai sebahagian daripada kawasan bandar baharu untuk Sibu,” katanya pada Majlis Angkat Sumpah Timbalan Pengerusi MDLBS Kaunselor Wong Ching Yong yang baharu dilantik di sini, semalam.

Hadir sama ialah Ahli Dewan Negara Senator Robert Lau Hui Yew, Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Kaunselor Clarence Ting Ing Horh, Pengerusi MDLBS Kaunselor Sempurai Petrus Ngelai, Pemangku Setiausaha MDLBS Tieng Ming Min serta para kaunselor MDLBS yang lain.

Menurutnya lagi, terdapat banyak potensi pembangunan kawasan luar bandar dalam pelbagai aspek iaitu perumahan, perindustrian, pertanian dan lain-lain.

Adun Batu Kawah itu berkata, lebih banyak peluang pekerjaan akan tercipta dan akhirnya masyarakat akan berhijrah dari luar bandar ke kawasan bandar.

“Ini menyebabkan kawasankawasan tertentu berkembang dengan pesat dan lebih banyak perkhidmatan majlis tempatan diperlukan dan majlis tempatan dapat mempercepat penglibatan masyarakat untuk mewujudkan persekitaran yang proaktif dan kondusif,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau yakin bahawa di bawah kepimpinan Kaunselor Sempurai Petrus Ngelai sebagai pengerusi MDLBS dan dibantu oleh timbalan pengerusi yang baharu serta ahli-ahli majlis dan kakitangannya,

MDLBS dapat berkembang seiring dengan perubahan di dalam kawasan pentadbirannya. “Oleh itu, saya menyeru semua ahli majlis supaya dapat memberi kerjasama kepada pengerusi dan timbalan pengerusi yang baharu,” tambahnya.

Sementara itu, beliau berkata, Kerajaan Negeri telah meluluskan pembinaan bangunan pejabat MDLBS yang baharu terletak di Sibu Jaya.

Jelasnya, projek bernilai RM28 juta itu akan dimulakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan perunding akan dilantik pada tahun ini.

“Akhirnya, MDLBS mempunyai tempat kerja di kawasan pentadbirannya sendiri.

Mudah-mudahan ini bukan hanya bangunan pejabat, tetapi juga kemudahan bersama untuk melibatkan masyarakat agar mereka dapat menikmati manfaat daripada kewujudannya,” tegasnya lagi.

Pada masa ini, pejabat MDLBS terletak di bangunan Wisma Sanyan yang juga menempatkan pejabat Majlis Perbandaran Sibu (MPS).

Dr sim juga mengatakan bahawa Ketua Menteri memberi jaminan bahawa Sibu Jaya akan terus memiliki lebih banyak rancangan pembangunan dan lebih banyak kemudahan yang akan disediakan.

Menurutnya, Sibu Jaya akan lebih maju lagi apabila siapnya jalan sejauh lapan kilometer yang menghubungkan Sibu Jaya dan Jalan Kong Yit Khim.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak