Tentera patahkan cubaan menyeludup keluar minuman keras di Serikin

KUCHING: Taktik dua lelaki menyeludup keluar 120 kotak minuman keras ke Indonesia menggunakan jalan tikus di Serikin pada seawal jam 5 pagi tadi gagal apabila dikesan pasukan tentera.

Markas Divisyen Pertama Infantri dalam kenyataan hari ini, berkata kegiatan itu dikesan oleh pasukan Batalion ke 10 Rejimen Renjer Diraja (10 RRD) semasa menjalankan Op Awas.

“Seawal jam 5 pagi semasa anggota 10 RRD sedang menjalankan Op Awas di kawasan Serikin telah mendengar bunyi kenderaan memasuki laluan tikus menuju ke sempadan Indonesia.

“Setelah kenderaan itu ditahan dan diperiksa, seorang individu menaiki motosikal dan seorang lagi memandu van dipercayai cuba menyeludup keluar 120 karton minuman keras pelbagai jenama ke Indonesia,” katanya.

Kenyataan itu menambah suspek termasuk
minuman keras, telefon bimbit, motosikal dan van yang dirampas dianggarkan bernilai RM23,600 telah dibawa ke Balai Polis Bau untuk tindakan lanjut.

“Melalui Op Benteng, tentera darat melalui formasi 1 Divisyen dan pasukan di bawah naungan sentiasa berwaspada dan meningkatkan lagi kawalan keselamatan dalam menangani sebarang kejadian yang boleh mengganggu gugat keselamatan dan kedaulatan negara terutama dalam
menangani jenayah rentas sempadan,” ujarnya.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak