Veteran tentera perlukan bantuan

KUCHING: Persatuan Persatuan Veteran Tentera Kor Renjer (PVTKR) mengharapkan sumbangan untuk menjalankan aktiviti kebajikan.

Pengerusi Biro Kebajikan PVTKR Pegawai Waran 2 (B) Keliment Nyapong berkata, dengan adanya sumbangan ia dapat membantu kewangan persatuan untuk membeli peralatan pesakit, membaiki rumah usang dan sebagainya.

Dengan itu jelasnya, kehidupan veteran yang serba daif dan sakit, termasuk yang terlantar akan mendapat pembelaan daripada persatuan tersebut.

“Bagi membalas jasa veteran ini yang telah banyak menyumbang kepada keselamatan negara, tugas kita kini ialah untuk menjaga kebajikan mereka sebagai ahli,” katanya kepada Suara Sarawak.

Seterusnya beliau berharap veteran tentera di pedalaman menyertai persatuan itu dengan harapan dapat dibantu.

“Ramai veteran tentera khasnya Iban Tracker, Sarawak Renjer yang kebanyakannya sudah berusia dan tinggal di pedalaman. Mereka boleh hubungi kami,” katanya.

Mengenai lepasan sekolah yang masih mencari pekerjaan, dia mencadangkan mereka menyertai tentera yang merupakan pekerjaan murni dan dihormati oleh masyarakat dunia.

“Ia juga profesion yang memberi pulangan yang baik. Banyak pengalaman boleh diperoleh yang dapat diguna sehingga berhenti daripada tentera,” tambahnya.

Sehingga kini jelasnya, lebih 900 ahli berjaya dikumpul dan pihaknya akan terus mencari veteran di seluruh Sarawak.

“Apabila menyertai persatuan kami, bererti tugas persatuan secara berterusan menjaga veteran tentera, keluarga mereka dan waris mereka,” ujarnya.

Suara Sarawak