Wajah moden SK Sungai Tisang

BINTULU: Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Tisang, Jalan Bintulu-Miri bakal berubah wajah daripada kategori sekolah daif kepada sekolah moden dengan pelaksanaan projek Cadangan Pembangunan Semula Sekolah Daif di Sarawak.

Projek dengan kos RM12,500,880 itu menggunakan peruntukan RM1 bilion untuk fasa satu.

Projek Pembinaan Semula SK Sungai Tisang ini telah bermula pada 15 Julai lalu dan dijangka siap pada 9 Julai 2022.

Adun Samalaju Majang Renggi yakin apabila siap kelak, bangunan sekolah empat tingkat dengan 12 kelas itu mampu menyediakan persekitaran kondusif, selesa dan selamat kepada pelajar terutamanya mereka yang bersekolah di bangunan sekolah daif.

Beliau berkata, projek itu memenuhi kualiti dan spesifikasi keselamatan seperti yang ditetapkan dan turut menggunakan teknologi sistem IBS.

Majang turut yakin bangunan sekolah baharu itu kelak, akan memotivasikan guru dan muridnya dalam menjalani proses pengajaran dan pembelajaran.

“Ini selaras dengan matlamat Kerajaan Sarawak yang begitu menitikberatkan aspek pendidikan anak-anak di negeri ini,” katanya ketika ditemui selepas sesi penyerahan dokumen kontrak projek bina baharu bangunan sekolah terbabit di sini, semalam.

Sementara itu, guru besar sekolah terbabit, Richard Jale menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Sarawak dan Majang atas kesungguhan membangunkan semula sekolah tersebut.

Beliau yakin apabila siap kelak, ia akan memberikan keselesaan kepada 503 murid sekolah terbabit.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak