Wanita perkasa era digital

KUCHING: Wanita Sarawak dalam Era Digital menjadi tema sambutan Hari Wanita Peringkat Sarawak yang bakal diadakan di Pusat Konvesyen Borneo Kuching (BBCK) pada 29 Ogos ini dan dirasmikan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, sesuai dengan kelaziman baharu sambutan itu cuma dihadiri 250 jemputan dengan pematuhan SOP yang ketat.

“Ia juga diisi program lintas langsung dalam talian bersama-sama 100 wanita di seluruh Sarawak yang tidak damat hadir.

Malah ini akan menjadi satu perkongsian menarik sesuai gaya kehidupan wanita zaman ini khususnya bekerja berpandukan teknologi digital dan telekomunikasi yang moden,” katanya pada sidang media Sambutan Hari Wanita Peringkat Negeri Sarawak 2020 di Bangunan Wisma Wanita di  sini, kelmarin.

Fatimah menjelaskan, sambutan tersebut juga bertujuan menghargai pencapaian dan sumbangan wanita negeri ini dalam pelbagai bidang khasnya berkaitan tekonologi bidang pendidikan dan keusahawanan.

“Kita kini dalam era aplikasi Zoom untuk bermesyuarat dan aplikasi ini kita manfaat sepenuhnya terutamanya bagi Pergerakan Wanita PBB untuk bermesyuarat.

“Teknologi ini sebenarnya memberi banyak manfaat terutamanya bagi wanita terlibat serius dalam perniagaan kerana mereka boleh memasarkan jualan dalam talian,” katanya.

Fatimah mahu peniaga wanita belajar mengenai teknologi dan peluang dunia digital sebagai salah satu cara untuk menambah pendapatan apatah perniagaan terjejas kerana Covid-19.

“Penting bagi wanita ini bangun semula dan menggunakan platform digital meneruskan kehidupan seharian dalam mencari rezeki,” ujarnya.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak