KUCHING: Pihak berkuasa yang berkenaan harus mengambil tindakan undang-undang terhadap Ahli Parlimen Pasir Putih Nik Muhammad Zawawi Salleh berhubung kenyataannya mengenai kitab Injil di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, Akta Hasutan dan Kanun Keseksaan yang diwujudkan untuk mencegah konflik agama mesti ditegakkan dengan tegas bagi setiap perlanggarannya oleh sesiapa sahaja untuk memastikan undang-undang dan sistem kehakiman negara terus dihormati.

“Setiap kepercayaan dan agama mengajar kita untuk mempraktikkan nilai kasih dan pengampunan yang baik dan mulia antara satu sama lain.

“Tanpa menghiraukan hukuman yang mungkin timbul daripada apa yang dikatakan oleh Ahli Parlimen Pasir Putih mengenai Alkitab, orang Kristian dapat untuk memaafkannya walaupun tanpa beliau meminta maaf.

“Tuhan adalah mutlak dan tertinggi di atas semua ciptaanNya dan dengan itu Tuhan tidak memerlukan perlindungan dan pembelaan kita.

“Namun ini tidak bermaksud untuk kita tidak menegakkan undang-undang setiap kali seseorang melanggar undang-undang kerana jika tidak, warganegara kita tidak akan menghormati dan takut akan undang-undang.

“Penegak undang-undang mesti berwaspada dan bersedia bertindak tanpa rasa takut apabila ada yang melanggar undangundang,” katanya dalam kenyataan semalam.

Uggah menambah semua pemimpin, wakil rakyat termasuk pemimpin agama harus memikul tanggungjawab dan memberi teladan yang baik dengan menunjukkan rasa hormat kepada setiap agama untuk menjaga keharmonian agama dan perpaduan nasional.

“Kata-kata dan tindakan akan menjadi kesaksian terbaik mengenai iman dan kepercayaan kita,” katanya. Justeru, beliau yang juga menteri bertanggungjawab ke atas Unit Hal Ehwal Agama-agama Lain (Unifor) menegaskan kerajaan Sarawak amnya sangat serius dalam menjaga kesejahteraan agama lain selain Islam.

“Kita tidak boleh membiarkan tingkah laku segelintir ekstremis dan fanatik agama merosakkan keharmonian dan kesatuan agama yang ada di negeri dan negara kita.

“Itulah sebabnya Kerajaan Sarawak akan terus menjaga kesatuan dan keharmonian agama dengan menghentikan pelampau dan fanatik agama memasuki Sarawak kerana ini adalah sebahagian daripada hak imigresen kita yang termaktub di dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya.

Dalam perbahasan dengan Ahli Parlimen Beruas Ngeh Koo Ham tentang agama yang membenarkan penganutnya minum arak, Nik Muhammad berkata kitab Injil telah dipinda. Ahli Parlimen Pas itu berkata, semua agama tidak membenarkan penganutnya minum arak, sekali gus mencetuskan pertengkaran dengan Ngeh.

“Islam tidak melarang orang lain daripada menjual arak. Agama lain seperti Buddha dan Hindu juga tidak membenarkan penganut masing-masing minum arak,” katanya.

Ngeh menggesa Zawawi membetulkan kenyataannya kerana agama lain seperti Kristian, membenarkan penganutnya minum arak, tetapi tidak sehingga mabuk.

Zawawi bagaimanapun memberitahu Ngeh supaya memeriksa kenyataan beliau, termasuk mengenai agama Kristian kerana “sebelum kitab Injil dipinda”, sedikit arak pun tidak dibenarkan.

Ngeh membalas kenyataan Zawawi dengan memintanya merujuk kepada pakar agama lain terlebih dahulu, tetapi disanggah oleh Zawawi yang berkata, beliau membaca mengenai agama Kristian berdasarkan buku yang ditulis oleh orang Kristian sendiri.