BAU: Sarawak tidak memerlukan kerajaan tidak stabil dan kucar-kacir atau yang tidak mengutamakan hal rakyat, kata Adun Serumbu Miro Simuh.

Beliau mengulas mengenai isu politik semasa yang berlaku di Semenanjung Malaysia dan Sabah. Kata Miro, keadaan politik di kedua-dua wilayah itu tidak stabil kerana pemimpin sibuk berebut jawatan dan membeli wakil rakyat hingga lupakan rakyat.

“Bila masa mahu bela rakyat kalau dari minit pertama hingga minit akhir berpolitik untuk diri sendiri, berebut jawatan. Tiada masa untuk menjaga rakyat.

“Mereka yang ada sekarang bolehkan bertahan sampai adan? Kalau tidak, mereka melompat sokongan,” ujarnya pada perasmian Pasar Tamu Paku Bau baru-baru ini.

Miro memberitahu, hanya di Sarawak sahaja kerajaannya stabil meskipun difitnah dan diserang oleh pembangkang. Katanya, meskipun difitnah, kerajaan membuktikan kepada pembangkang, boleh membawa pembangunan untuk rakyat.

“Jangan kita percaya dakyah orang lain.  Kita sendiri ada mata, telinga dan kepala untuk berfikir, mendengar dan melihat apa yang dibuat GPS. “Kita kekalkan kerajaan yang terbaik yang dimiliki oleh Sarawak iaitu GPS. Tiada cara lain, kita lihat 22 bulan di bawah kerajaan PH, macam-macam yang berlaku,” jelasnya.

Miro menambah, sekiranya tidak mahu ditipu sekali lagi, beliau menasihati rakyat memberikan sokongan kepada GPS