SARIKEI: Iskandar Salus @ Toi sentiasa konsisten meraikan kemerdekaan dengan caranya tersendiri sejak empat tahun lalu.

Bagi anak jati Sarikei ini, beliau tidak mengharapkan ganjaran mahupun pujian sebaliknya berkongsi kegembiraan sebagai anak merdeka. Tidak hanya pakaian, Toi juga akan menghiasi motosikal dan basikal miliknya dengan tema patriotik seperti Jalur Gemilang dan bendera Sarawak.

“Ini salah satu cara untuk menzahirkan rasa sayang saya pada negara tercinta. Jiwa saya sentiasa mencintai kemerdekaan. Segalagalanya bermula pada 2016, ketika itu sekadar menyertai pertandingan bertemakan kenegaraan.

“Saya tidak sangka meraih tempat terbaik sehingga tular di media sosial,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menurut Toi, beliau tidak berseorangan sebaliknya mendapat sokongan keluarga termasuk anak saudaranya. Malah peniaga ini sering menggalakkan ahli keluarganya menyertai pertandingan bertemakan Hari Kebangsaan anjuran agensi kerajaan di sekitar Sarikei.

Menurutnya, antara program yang beliau tidak ketinggalan menyertainya termasuklah perarakan basikal dan pakaian berhias Jalur Gemilang.

“Walaupun mengeluarkan duit poket sendiri untuk semua hiasan itu, saya tidak kisah. Yang penting orang memahami makna di sebaliknya.

“Saya juga ingin mengajak masyarakat merenung kembali perjuangan pemimpin terdahulu, menghargai kemerdekaan dan mempertahankan perpaduan yang terjalin,” katanya.

Sikap konsisten Toi turut menarik perhatian warga bandar nanas di samping menyifatkannya sebagai satu usaha murni yang wajar dicontohi.