SELAMAT menyambut Hari Kebangsaan 2020. Pelbagai cabaran telah pun kita tempuhi sepanjang pandemik Covid-19 sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu, yang kemudiannya diikuti PKP Bersyarat dan kini PKP Pemulihan sehingga penghujung tahun ini.

Namun, ia tidak menghalang kita meraikan Hari Kebangsaan pada hari ini, walaupun sambutannya amat berbeza, berbanding sebelum ini.

Yang pasti, ia adalah satu kelaziman baharu bagi kita semua. Bersempena hari kemerdekaan ini, kita amat bersyukur, kerana hidup aman damai walaupun mempunyai masyarakat yang pelbagai, dari segi bangsa, agama dan kaum.

Dengan nikmat kemerdekaan selama enam dekad ini, kita boleh melakukan apa yang kita kehendaki, tanpa sekatan atau halangan, asalkan ia tidak menyalahi peraturan atau undangundang yang telah ditetapkan.

Oleh itu, masyarakat hari ini harus bijak meneroka dan mengadaptasi bahan semula jadi bagi menghasilkan sesuatu produk yang boleh menjana pendapatan.

Ia sekali gus, berupaya menjadi penyumbang mata pencarian dalam mengubah kehidupan harian untuk lebih sempurna. Perubahan dunia yang semakin mencabar sekarang ini menuntut kita untuk berusaha lebih dan gigih.

Justeru, kekreatifan untuk menambah pendapatan amatlah penting bagi meringankan beban. Oleh itu, bahan asli daripada tanaman mempunyai potensi yang besar jika dimajukan dengan cara yang betul.

Buktinya, Simunjan D Production iaitu sebuah badan penggerak pembangunan ekonomi mampan sekarang ini berjaya menghasilkan jus daripada kunyit dan halia.

Dengan produk awal mereka yang dikenali umum sebagai Jus Udak Lis buatan sendiri yang semakin mendapat tempat sekarang ini. Ia merupaan satu pendekatan berani yang dilakukan syarikat terbabit dalam meneroka jus berkenaan.

Ia seharusnya menjadi contoh kepada masyarakat sekitar, mengambil kira usaha mereka yang berjaya mempelbagaikan kegunaan tanaman berkenaan. Kita percaya selepas ini tanaman kunyit dan halia akan terus diperhebatkan oleh masyarakat setempat untuk menghasilkan pelbagai produk makanan dan sebagainya.

Ia bukan hanya dapat menampung keperluan barangan berkenaan, tetapi juga dapat memperlihatkan kegunaannya untuk menghasilkan jus dalam skala yang lebih besar.

Sudah pasti kita berharap populariti jus berkenaan akan menembusi pasaran global suatu hari nanti. Jika zaman dahulu peranan kunyit dan halia lebih sinonim untuk ibu yang berpantang selepas melahirkan anak. Ia lebih kepada untuk tujuan perubatan dan kesihatan.

Tetapi, kini tidak lagi. Syarikat pengusaha produk telah mengkormersialkannya. Bukan hanya jus, tetapi penghasilkan serbuk untuk memperkasakan kecantikan wajah, badan bagi wanita dan kaum adam. Ia semakin mendapat tempat sekarang ini.

Malah kejayaan ini pastinya akan membuka ruang ekonomi yang lebih luas kepada rakyat di negeri ini. Ia sejajar dengan pandemik Covid-19 yang menjurus kepada kemerosotan ekonomi masyarakat sejagat, telah memberikan impak besar yang menyaksikan ramai yang hilang pekerjaan.

Lantaran itu, mendekatkan diri terhadap bidang pertanian secara tidak langsung dapat menjadi penyumbang kebangkitan semula ekonomi pada masa akan datang.

Oleh itu, sekarang ini kita kelihatan kembali kepada apa yang pernah dilakukan oleh masyarakat kita sejak puluhan tahun yang lalu, iaitu kembali kepada bidang pertanian

. Apa yang pasti, pertanian sekarang ini tidak lagi dilabel sebagai pekerjaan golongan kolar biru, kerana ia sudah pun menembusi pasaran global jika diusahakan secara gigih dan betul.

Malah Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sentiasa memberi galakan kepada generasi muda di negeri ini agar menceburkan diri dalam bidang pertanian secara moden.

Ini kerana beliau mahu Sarawak, bukan sahaja sebagai ‘bakul makanan’ untuk rakyat sendiri, tetapi juga untuk tujuan eksport, sekali gus sebagai antara penyumbang utama ekonomi negeri.

 

Sumber foto kredit: Google Image/Harian Metro