KUCHING: Sebanyak 277 notis saman atas pelbagai kesalahan trafik dikeluarkan oleh Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik(JSPT) dalam masa dua hari Ops Ambang Merdeka di Sarawak yang berakhir semalam.

Ketua Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supt Alexson Naga Chabu berkata, operasi melibatkan 13 buah daerah merangkumi Kuching, Sibu, Miri, Bintulu, Song, Padawan, Bau, Limbang, Dalat, Matu Daro, Marudi, Serian dan juga Saratok.

Menurutnya, tujuan utama operasi bagi menguatkuasakan undang-undang lalu lintas di samping mencegah kemalangan jalan raya serta mengambil tindakan terhadap pemandu mabuk atau kegiatan lumba haram.

“Hasil operasi bermula 30 Ogos 2020 lalu berjaya melakukan satu tangkapan kes di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu lumba haram di Padawan.

“Turut dikenal pasti dua tangkapan di Sibu dan Miri ketika operasi melibatkan pemandu mabuk atau memandu di bawah pengaruh alkohol.

“Manakala jumlah keseluruhan saman hasil dua hari operasi merekodkan sebanyak 277 keping,” jelasnya menerusi satu kenyataan hari ini.

Dedahnya, antara kesalahan lalu lintas yang paling banyak ditangkap termasuk tiada lesen memandu, ubah suai kenderaan, tiada cukai jalan, insuran perlindungan tamat tempoh, dan juga tidak memakai helmet ketika menunggang motosikal.

Dalam pada itu, katanya, operasi melibatkan seramai 31 pegawai dan 216 anggota secara keseluruhan.