SARIKEI: Kerajaan Sarawak komited memperkasakan bidang pertanian di negeri ini melalui pelbagai pendekatan kerana yakin sektor penting itu akan terus berkembang.

Adun Repok Datuk Seri Huang Tiong Sii berkata, selain mengurangkan kebergantungan bekalan makanan import, usaha itu juga bertujuan melonjakkan potensi ekonomi sesebuah kawasan.

Katanya, penganjuran pelbagai program berkaitan merupakan sebahagian inisiatif untuk merealisasikan hasrat berkenaan. “Kesemua program itu bertujuan menggalakkan penyertaan rakyat dalam aktiviti berasaskan pertanian.

“Kita juga mahu mereka mempraktikkan amalan pertanian moden dan menjadikan sektor itu untuk menjana ekonomi,” katanya pada Program Jangkauan Komuniti Pertanian (AgricCOP) Sarikei pada Sabtu.

Huang berkata, kerajaan menggalakkan petani supaya mempelbagaikan jenis tanaman dan ternakan termasuk pertanian yang berasaskan teknologi moden.

Melalui cara itu katanya, mereka boleh mempelbagaikan sumber pendapatan mereka dan tidak hanya bergantung kepada satu komoditi sahaja.

“Kepesatan pembangunan Sarikei sekarang ini bertitik tolak daripada usaha dan kesungguhan Kerajaan Sarawak yang mahu menjadikan kawasan ini sebagai salah satu pusat pertumbuhan ekonomi di wilayah tengah melalui pelaksanaan pelbagai projek pembangunan yang bermanfaat kepada rakyat.

“Bagi Kerajaan GPS, tidak ada apa yang lebih menggembirakan melainkan, kita mampu menunaikan janji dan menyumbangkan sesuatu yang bermanfaat kepada segenap lapisan rakyat,” katanya.

Beliau menambah, pelaksanaan pelbagai projek pembangunan baharu di kawasan ini membuktikan komitmen padu kerajaan dalam menyediakan kemudahan untuk penduduk setempat.

Katanya, projek agropertanian, pembinaan Jambatan Rajang dan Jalan Sarikei ke Tanjung Manis merupakan sebahagian usaha penting kerajaan untuk meningkatkan taraf ekonomi rakyat.

“Ini semua hasil keprihatinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Sesungguhnya usaha ini menyumbang ke arah pembangunan dalam pelbagai sektor khususnya pertanian,” ujarnya.