KUCHING: Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang dilanjutkan hingga penghujung tahun ini sedikit sebanyak menjejaskan pendapatan penjaja di Pasar Malam MetroCity, Matang di sini.

Adun Tupong, Fazzrudin Abdul Rahman berkata, ia agak sukar bagi penjaja, namun mereka memahami dan menerimanya dengan hati terbuka demi keselamatan orang ramai.

“Secara positifnya, perniagaan pasar malam yang sudah dibuka semula telah membantu meningkatkan pendapatan penjaja kecil, namun terdapat segelintir penjaja yang mengalami masalah kekurangan modal perniagaan.

“Kita sekarang sedang berusaha untuk mencari peluang membantu usahawan kecil ini sepanjang dalam tempoh PKPP,” katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui media semasa mengadakan lawatan ke Pasar Malam MetroCity, Matang baru-baru ini.

LAWAT… Fazzrudin mengunjungi salah sebuah gerai yang dikendalikan oleh persatuan pengakap malam kelmarin. • Foto MOHD ALIF NONI

Tambah Fazzrudin, beliau mempunyai perancangan besar untuk pasar malam berkenaan namun permohonan membangunkan kawasan berkenaan masih dalam proses. Sementara itu, beliau telah melawat semua tapak penjaja, sekali gus merasmikan Program Ambang Merdeka untuk tahun ini.

“Kita selalu melakukan banyak program untuk tarikh penting seperti Hari Merdeka, Hari Malaysia dan Hari Sarawak supaya dapat mengingatkan orang ramai tentang pentingnya hari berkenaan.

“Saya berharap aktiviti di pasar malam ini dapat mengisi masa lapang para belia dan pengunjung mengambil kesempatan untuk mendaftarkan sebagai mengundi di gerai pameran SPR atau PBB,” katanya lagi.

Turut hadir ialah Ketua PBB Cawangan Tupong, Ali Mohamad dan Pengerusi Persatuan Penjaja Petra Jaya, Mohamad Khairuzie Bolhassan.