TATAU: Peruntukan Fasiliti Pertanian Dun Kakus akan fokus kepada pembelian anak pokok durian Musang King dan pokok Hajah serta baja.

Ini kerana kedua-dua varieriti ini sentiasa mendapat pasaran dan permintaan yang tinggi setiap tahun.

Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) Datuk John Sikie Tayai berkata, selain permintaan tinggi, hasil tanaman tersebut mampu memberikan pendapatan lumayan kepada penduduk.

Menurutnya, kedua-dua varieti tersebut mengeluarkan hasil setiap tahun, namun memerlukan kaedah penanaman dan penjagaan yang betul.

“Kita menyasarkan lebih 1,000 penduduk di kawasan Dun Kakus akan memperolehi manfaat bantuan dan peruntukan ini,” ujarnya pada penutupan program AgriCOP di Rumah Mat Sampe, Separai, di sini semalam.

Beliau turut menasihati penduduk di kawasan terbabit tidak hanya bergantung kepada sejenis tanaman sahaja, sebaliknya, mempelbagaikannya agar tidak terkesan sekiranya harga sesuatu tanaman menurun.

Malah, beliau menggalakkan mereka mengusahakan ternakan khinzir ekoran permintaan pasaran yang tinggi.

Pada masa yang sama, Sikie menyarankan penduduk khususnya pekebun kecil agar berubah kepada kaedah pertanian cara baharu iaitu fertigasi untuk meningkat hasil dan kualiti tanaman walaupun memerlukan kos yang agak tinggi.

Katanya, kaedah pertanian moden turut mempercepatkan tumbesaran tanaman.

“Ini juga selari dengan hasrat Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg yang ingin memperluaskan konsep pertanian moden, khususnya di kawasan pedalaman dan luar bandar.

“Kaedah pertanian moden berpotensi membantu petani mendapatkan hasil yang dapat dikomersial, sekali gus meningkatkan pendapatan mereka, jelasnya lagi.

Hadir sama ialah Setiausaha Tetap Kementerian Permodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Edwin Abit, Ketua Bahagian Pengembangan, Jabatan Pertanian Sarawak, Ronald Ripid, Ketua Bahagian Tanaman, Jabatan Pertanian Sarawak, Dominic Chunggat, Pegawai Tadbir Daerah Tatau, Calvin Ligong, Pemangku Pegawai Pertanian Bahagian Bintulu, Angang Jimbun dan Penolong Pegawai Pertanian Daerah Tatau, Joseph Mawan.