KUCHING: Pustaka Negeri Sarawak menerima sumbangan sebanyak RM50,000 daripada Kementerian Pelancongan, Keseniaan dan Kebudayaan untuk meningkatkan industri penulisan di negeri ini.

Menterinya Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pemberian itu sejajar pengumumannya dua tahun lepas mengenai industri penulisan di negeri ini.

“Sumbangan ini akan diuruskan sepenuhnya oleh Pustaka mengikut kepentingan yang diperlukan oleh pemain industri berkaitan. “Kita turut menyediakan dana khas kepada pihak yang yang terlibat dalam industri seni dan kreatif yang berjumlah sekitar RM10 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis makan malam Festival Penulis Sarawak di BCCK, pada Ahad.

Menurut Abdul Karim, dana tersebut perlu dipohon terlebih dahulu untuk memastikan taraf kelayakan pemohon. Pemohon tidak perlu membayar balik bantuan.

“Bagi mana-mana penulis yang menghadapi masalah kebajikan dalam pengumpulan data penulisan, mereka dialu-alukan untuk meminta bantuan daripada kami.

“Ini kerana proses untuk mendapatkan kelulusan cukup mudah dan ia bergantung dengan keperluan yang diminta,” katanya lagi.

Sementara itu, beliu turut mendedahkan bahawa mereka yang menceburi bidang seni dan teater juga digalakkan untuk mendapatkan bantuan tersebut.