KOTA SAMARAHAN: Ahli Parlimen Kota Samarahan, Rubiah Wang menyeru penduduk di sini khususnya wanita untuk bergiat aktif dalam sektor pertanian.

Menurutnya, ia merupakan kepakaran yang banyak dimiliki oleh penduduk di kawasan tersebut. “Jadi, tidak menjadi masalah jika kita menggunakan salah satu kawasan tanah yang ada untuk tanaman kerana ia mampu menjadi sumber utama ekonomi,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan sambutan Hari Wanita Peringkat Daerah Samarahan di Dewan Serbaguna Kampung Tanjung Parang di sini. Tambah Rubiah, di bawah inisiatif Penjana itu terdapat satu peruntukan yang disediakan melalui  Kementerian Pertanian dan Industri Makanan.

“Peruntukan tersebut berjumlah RM1 bilion. Bagaimanapun, saya dimaklumkan hanya RM180,000 sahaja yang baru memohon. Jadi bakinya masih banyak. “Jadi, kita tidak boleh ketinggalan kerana ini peluang untuk membantu masyarakat khususnya wanita yang ingin berjaya dalam bidang agropertanian,” jelasnya.

Terdapat juga pelbagai peruntukan yang disediakan oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak untuk membantu masyarakat dalam bidang keusahawanan.

“Di bawah MRP, saya juga berikan peruntukan khusus untuk pembangunan ekonomi kecil yang boleh menjana pendapatan terutama sekali bagi wanita.

“Baru-baru ini saya juga melancarkan program Taman Cabik Geronong kerana kita hendak melihat masyarakat di sini menjana pendapatan berterusan dan bukan hanya menjadi pengeluar serbuk cili geronong sahaja.

“Dengan menggunakan teknologi, kita tidak memerlukan kawasan yang besar, tetapi kita memerlukan kesungguhan daripada semua pihak untuk memastikan aktiviti ini benar-benar memberikan pulangan kepada diri sendiri serta masyarakat,” jelasnya.

Selain itu, beliau mengajak Pejabat Daerah Samarahan dan Pejabat Residen Bahagian Samarahan untuk bersama-sama menyebarkan maklumat dengan penduduk berkenaan perkara tersebut.

“Taman Cabik Geronong bukan sahaja dapat menjadi jenama untuk daerah dan bahagian tetapi dapat memberikan pulangan ekonomi yang baik terutama sekali kepada wanita sebagai pencetus ekonomi kedua dalam negara,” tegasnya.

Rubiah turut menyeru agar wanita lebih bersikap kreatif dan inovatif serta sentiasa mengambil peluang untuk meningkatkan lagi peranan dalam pembangunan kawasan dan negeri.